476 banduan hukuman mati mungkin dapat ‘peluang kedua’

Datuk Seri Azalina Othman Said
Datuk Seri Azalina Othman Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 476 orang banduan hukuman mati yang belum selesai proses rayuan di peringkat mahkamah akan tertakluk kepada Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang akan berkuat kuasa kelak.

Sekiranya RUU itu lulus di Dewan Rakyat, kesemua banduan yang terlibat akan berpeluang mendapat ‘peluang kedua’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu merupakan salah satu daripada enam dasar yang terkandung dalam RUU berkenaan.

“Dengan pemansuhan hukuman mati mandatori dan pindaan berbangkit susulan pemansuhan tersebut, Kerajaan Perpaduan telah beranjak ke arah pemansuhan hukuman mati bagi enam kesalahan tertentu sebagaimana di dalam perundangan di Malaysia.

“Pemansuhan hukuman mati mandatori ini bertujuan menghargai dan menghormati nyawa setiap individu, pada masa yang sama, memastikan keadilan dan kesaksamaan bagi semua pihak termasuk mangsa-mangsa pembunuhan, kes-kes yang melibatkan pengedaran dadah, serta keluarga mangsa-mangsa.

“Oleh itu, dasar-dasar yang dicadangkan melalui RUU ini merupakan satu jalan tengah untuk memastikan keadilan dipelihara bagi semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Azalina memaklumkan, polisi penghukuman untuk 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori adalah antara enam dasar yang terbabit dalam pindaan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Jelas Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, RUU itu dijangka akan dibentang bagi bacaan kali kedua pada 3 April ini.

RUU berkenaan membabitkan enam dasar untuk meminda Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Acara Jenayah.

Sebagai contoh, mengikut dasar pertama pindaan itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman penjara maksimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali bagi kesalahan menyebabkan kematian iaitu bagi Seksyen 130C, 130I, 130N, 130O, 130QA, 130ZB, 302, dan 374A Kanun Keseksaan.

Selain itu, terma 'pemenjaraan sepanjang hayat' juga akan digugurkan daripada semua akta berkaitan.