Johor setuju tubuh jawatankuasa perubahan iklim, bencana

Onn Hafiz (dua dari kanan) bergambar bersama ADUN kerajaan dan pengimbang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Isnin.
Onn Hafiz (dua dari kanan) bergambar bersama ADUN kerajaan dan pengimbang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin menerima rundingan secara sebulat suara mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor.

Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju dengan cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut.

Cadangan tersebut dipersetujui Ketua Pengimbang DUN Johor, Chen Kah Eng dan kemudiannya dibahas oleh ADUN Kukup, Datuk Jefridin Atan.

Sebelum itu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jawatankuasa tersebut akan berfungsi meneliti undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan perubahan iklim dan pengurusan bencana banjir.

Katanya, jawatankuasa ini turut berperanan mengkaji inisiatif-inisiatif yang diambil dalam menangani perubahan iklim dan keberkesanan proses serta langkah-langkah mitigasi banjir di peringkat daerah dan negeri.

"Jawatankuasa ini turut akan mengkaji alternatif lain dalam menangani isu banjir kilat, banjir termenung dan banjir yang kerap berulang di satu-satu kawasan sekiranya berlaku hujan lebat yang berpanjangan.

"Seterusnya, mengkaji penyelesaian yang boleh diambil bagi meminimakan kerosakan harta benda dan infrastruktur akibat banjir merangkumi cadangan penempatan semula penduduk dan sebagainya.

"Penambahbaikan turut akan dicadangkan jawatankuasa ini bagi supaya tindakan dapat diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan dalam menangani impak perubahan iklim dan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Isnin.

Onn Hafiz memberitahu, seramai 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdiri daripada lapan ADUN kerajaan dan lima ADUN pengimbang akan menyertai jawatankuasa berkenaan.

"Jawatankuasa ini akan dipengerusikan Anuar Abd Manap (Pemanis-BN). Seterusnya dianggotai Datuk Jefridin Atan (Kukup-BN), Datuk Zulkurnain Kamisan (Sri Medan-BN), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja-BN), Tan Chong (Bekok-BN), Selamat Takim (Sungai Balang-BN), Fauziah Misri ( Penawar-BN), Mohamad Najib Samuri (Parit Yaani-BN).

"Seterusnya, Chen Kah Eng (Stulang-DAP), Gan Peck Cheng (Penggaram-DAP), Amira Aisya Abd Aziz (Puteri Wangsa-Muda), Liow Cai Tung (Johor Jaya- DAP) dan Alawiyah Talib ( Endau-PN)," katanya.

Pada 19 Mac lalu, Onn Hafiz ketika menjawab soalan lisan pada sidang DUN Johor mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir yang akan dibarisi ADUN Johor.

Katanya, pembentukan jawatankuasa yang akan dianggotai ADUN merentasi parti politik itu, sebagai menyahut peringatan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya bangsa Johor membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan, dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.