Sebak terima khairat kematian suami RM52,000

Wan Munadi (tujuh dari kanan) bersama penerima dan warga pendidik di Kelantan semasa Majlis Iftar Ramadan YGMB pada Ahad.
Wan Munadi (tujuh dari kanan) bersama penerima dan warga pendidik di Kelantan semasa Majlis Iftar Ramadan YGMB pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang balu sebak dan terharu apabila menerima sumbangan Khairat Kematian Skim Emas berjumlah RM52,000 daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) selepas pemergian suaminya Januari lalu.

Rosmaini Latif berkata, suaminya, Zainudin Ismail yang merupakan bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jerek, Gua Musang baharu mencarum pada tahun lalu dengan kadar bayaran bulanan sebanyak RM35.

Dia berkata, ia merupakan rezeki kepada empat anaknya yang berusia 18 hingga 27 tahun.

"Terima kasih YGMB, saya harap lebih ramai lagi guru-guru akan menyertai yayasan ini. Banyak manfaat yang disediakan kepada guru-guru serta keluarga," katanya ketika sidang akhbar pada Majlis Iftar Ramadan YGMB di sini pada Ahad.

Sebelum itu Rosmaini menerima sumbangan khairat kematian yang disampaikan oleh Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat memberitahu, pihaknya telah mengagihkan empat manfaat kebajikan utama di negeri ini yang melibatkan peruntukan hampir RM200,000.

"Ia melibatkan bantuan bencana banjir, penyakit kritikal, dan khairat kematian.

"Kini keahlian kami seluruh negara telah mencecah seramai 130,000 ahli daripada jumlah keseluruhan pendidik yang ada ialah 500,000 orang.

"Dengan itu kita sentiasa berusaha menarik perhatian warga pendidik untuk bersama-sama dengan yayasan demi menjaga kebajikan mereka," katanya.