Kestabilan kewangan global berdepan risiko lebih besar - IMF

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
A
A
A
MOSCOW - Kestabilan kewangan global kini menghadapi risiko yang lebih besar susulan peralihan daripada kadar faedah rendah kepada tinggi yang memberi tekanan kepada sistem ekonomi, kata pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva pada Ahad.

"Ia juga jelas menunjukkan bahawa risiko kepada kestabilan kewangan telah meningkat. Pada paras hutang yang lebih tinggi, peralihan pantas daripada tempoh kadar faedah rendah yang berpanjangan kepada kadar yang jauh lebih tinggi - diperlukan untuk melawan inflasi," kata Georgieva pada Forum Pembangunan China 2023 di Beijing, lapor Sputnik.

Beliau memberi amaran bahawa 2023 berkemungkinan menjadi satu lagi tahun yang mencabar, dengan pertumbuhan ekonomi global merosot kepada bawah tiga peratus disebabkan oleh "kesan pandemik", konflik Ukraine dan pengetatan monetari.

"Ketidakpastian adalah sangat tinggi, termasuk risiko pemecahan geo-ekonomi yang bermakna dunia berpecah kepada blok ekonomi saingan - 'pembahagian berbahaya' yang akan menyebabkan semua orang lebih miskin," kata ketua IMF.

Walaupun prospek untuk 2024 diunjur lebih baik, Georgieva memberi amaran bahawa pertumbuhan global akan kekal di bawah purata 3.8 peratus. - Bernama