MB Johor mahu main peranan sebagai 'jambatan'

Dr Sahruddin Jamal -Foto Bernama
A
A

ISKANDAR PUTERI - Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal mahu memainkan peranan sebagai 'jambatan' antara Kerajaan Persekutuan dan Istana Johor.

Menurutnya, segala perkara yang ingin kerajaan negeri laksanakan, beliau akan mengajukan kepada Kerajaan Persekutuan dan memohon perkenan pihak Istana Johor terlebih dahulu.

"Segala yang ingin kami laksanakan, saya akan ajukan (mohon perkenan) daripada pihak istana dan kerajaan persekutuan.

"Sebetulnya, mesti ada keseimbangan antara kerajaan persekutuan dan pihak istana. Tapi saya rasa insya-ALLAH segala isu, saya akan dapat selesaikan dengan baik," katanya kepada pemberita pada sesi temuramah khas bersamanya di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Sahruddin berkata, Johor juga mempunyai pemimpin senior seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan bekas Menteri Besar selain beberapa menteri-menteri lain dari negeri ini.

Oleh itu, katanya, hubungan baik antaranya dengan pemimpin-pemimpin tersebut, hubungan Istana Johor dan Kerajaan Persekutuan akan dapat diharmonikan lagi.

Beliau berkata, Johor mempunyai adat dan cara pemerintahan tersendiri, malah tidak dinafikan kemakmuran serta kemajuan negeri ini, merupakan sebahagian sumbangan daripada Istana Johor.

"Di atas keprihatinan Sultan Johor, hubungan erat antara istana dan rakyat terjalin.

"Tetapi dalam masa sama, saya akan terus bekerjasama dengan erat bersama Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan yang dirangka, dirancang dan dilaksanakan adalah berdasarkan aspirasi kerajaan PH," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Johor tak ada pengaruh dalam lantikan Exco baharu


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia