Syamsul tak mahu isu dengan Aaron Aziz dipanjangkan

Syamsul (kiri) dan Aaron.
Syamsul (kiri) dan Aaron.
A
A
A

PENGARAH filem The Original Gangster (TOG), Syamsul Yusof memohon agar isu pengguguran pelakon, Datuk Aaron Aziz tidak lagi dipanjangkan.

Syamsul menerusi entri di Instagram Story miliknya menjelaskan apa yang berlaku antara beliau dan Aaron tiada kena-mengena dengan pelakon lain.

“Dalam isu Aaron digugurkan sebagai pelakon filem OG, tidak perlu kita menyalahkan mana-mana pihak atau pelakon lain seperti Sharnaaz Ahmad dan Beto Kusyairy,” tulisnya.

Dalam entri yang sama juga, Syamsul memaklumkan keputusan menggugurkan Aaron daripada senarai naskhah itu dilakukan sebulat suara dan dipersetujui penerbit.

“Keputusan menggugurkan Aaron dibuat sebulat suara oleh saya dan penerbit lain filem ini. lni isu kerja antara saya sebagai pengarah dan Aaron sebagai pelakon.

“Saya ambil semua kesalahan dan bertanggungjawab terhadap isu ini. Tidak perlu dipanjangkan lagi isu ini, terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Syamsul mendedahkan punca Aaron terpaksa digugurkan daripada membintangi filem tersebut.

Antara sebabnya adalah masalah kesihatan iaitu masalah slip disc dan juga pertambahan berat badan.

Bagaimanapun, Syamsul memberitahu dia adalah individu terakhir yang mahu menggugurkan Aaron daripada filem berkenaan kerana mahu memberikan peluang pada aktor tersebut.

Aaron bagaimanapun memuat naik video di Instagram dan menceritakan perkara sebenar dengan bersaksikan kitab suci Al-Quran mendakwa dirinya telah dianiaya pengarah terbabit apabila digugurkan pada saat akhir.