Demi kesihatan mental keluarga, Aaron Aziz enggan komen lagi

Aaron berkongsi tangkap layar interaksi antara beliau dan isteri.
Aaron berkongsi tangkap layar interaksi antara beliau dan isteri.
A
A
A

SHAH ALAM - Kontroversi yang melanda pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz susulan penggugurannya daripada membintangi filem The Original Gangster turut memberikan kesan kepada ahli keluarganya.

Enggan isu itu berlarutan sehingga mengganggu kesihatan mental isteri dan anak-anak, beliau memutuskan untuk tidak mahu lagi memberikan sebarang komen berhubung isu berkenaan.

Dalam satu hantaran di Instagram pada Sabtu, Aaron memohon maaf kepada semua pihak kerana tidak menjawab sebarang panggilan telefon.

“Alhamdulillah. Saya minta maaf semua yang call, saya tak angkat panggilan telefon sebab tak nak komen apa lagi. Bila anak bongsu saya naik bilik menangis and bila isteri saya menangis, itu maksimum dah.

“Orang yang selalu beri nasihat, isteri saya. Kalau isteri cakap ‘no’, masih boleh bincang. (Tapi) Kalau isteri cakap i forbid (melarang) you, dah level lain.

”Bahagian saya kata, itu sudah cukup. Tiada lagi komen dan saya tidak akan jawab sebarang pertanyaan lagi. Saya bekerja keras untuk keluarga dan kesihatan mental mereka adalah penting.

“Rezeki saya bukan di tangan manusia. Saya tumpang rezeki daripada anak-anak dan isteri. Jadi, mereka adalah keutamaan saya. Selamat berpuasa. Semoga ALLAH SWT melindungi kita semua dari segala fitnah dunia dan akhirat. Amiin,” katanya.

Isu itu bermula apabila pengarah kontroversi, Syamsul Yusof tampil memberi penjelasan punca sebenar Aaron digugurkan daripada membintangi filem The Original Gangster.

Menurut Syamsul, ada beberapa faktor pelakon kelahiran Singapura itu tidak dipilih antaranya kerana telah berusia, kesihatan dan faktor badan iaitu gemuk.

Tidak berdiam diri, Aaron menzahirkan kekecewaannya dan mendedahkan bahawa beliau terpaksa mengambil suntikan bagi mendapatkan susuk badan ideal seperti mana yang dikehendaki Syamsul bagi menjayakan filem tersebut.

Malah, Aaron mendakwa, suntikan itu diambil atas permintaan daripada Syamsul dan bertindak sedemikian bagi mencapai bentuk badan yang dikehendaki untuk filem berkenaan.