Isu Syamsul, Aaron Aziz: Netizen terpaksa 'kerja' lebih masa

Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Aaron Aziz, Syamsul dan Diyana.
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Aaron Aziz, Syamsul dan Diyana.
A
A
A

DUNIA hiburan tanah air kembali hangat sejak beberapa hari lalu apabila pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz dikatakan menjadi mangsa 'body shaming'.

Ketika netizen sibuk mengkaji kontroversi beberapa artis terkenal negara termasuk kisah rumah tangga mereka, episod berbalas kenyataan antara Aaron dan Syamsul Yusof menarik perhatian ramai.

Ia bermula apabila pengarah kontroversi, Syamsul tampil memberi penjelasan punca sebenar Aaron digugurkan daripada membintangi filem The Original Gangster.

Menurut Syamsul, ada beberapa faktor pelakon kelahiran Singapura itu tidak dipilih antaranya kerana telah berusia, kesihatan dan faktor badan iaitu gemuk.

Beliau menyatakan, keputusan itu diambil selepas mendengar pandangan semua pihak produksi termasuklah barisan penerbit.

Tidak berdiam diri, pelakon kelahiran Singapura itu menzahirkan kekecewaannya dan mendedahkan bahawa beliau terpaksa mengambil suntikan bagi mendapatkan susut badan ideal seperti mana yang dikehendaki Syamsul bagi menjayakan filem tersebut.

Malah, Aaron mendakwa, suntikan itu diambil atas permintaan daripada Syamsul dan bertindak sedemikian bagi mencapai bentuk badan yang dikehendaki untuk filem berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut bersumpah bersaksikan al-Quran ketika menjelaskan perkara yang sebenar mengenai isu tersebut, dalam satu rakaman video.

Ia menjadi bertambah panas apabila isteri Aaron iaitu Diyana Halik meluahkan rasa sedih dan kesal apabila melihat suaminya dihina secara terbuka.

Diyana menerusi satu hantaran di Instagram terkejut dengan kenyataan yang keluarkan oleh Syamsul di media sosial dan tampil mempertahankan suaminya.

Perkembangan terbaharu itu menyebabkan ada kalangan netizen yang terpaksa bekerja lebih masa untuk mendapatkan maklumat terkini artis kesayangan mereka itu.

Malah, tular di media sosial senarai artis yang menjadi senarai carian utama mereka di internet.

Sebenarnya, sudah menjadi lumrah manusia untuk mengetahui sesuatu dengan lebih mendalam, apatah lagi apabila melibatkan artis kesayangan mereka dan isu yang menjadi kepentingan awam.

Bagaimanapun sebagai netizen, perlu ada batasnya apatah lagi dalam melontarkan sebarang komen agar ia tidak menggores hati mana-mana pihak.

Tambahan pula, umat Islam kini memasuki bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Lebih elok jika masa yang ada dimanfaatkan dengan aktiviti yang boleh memberi pahala, daripada sibuk mengambil tahu masalah artis kesayangan mereka.