Faktor badan, kesihatan Aaron Aziz digugurkan - Syamsul

Syamsul (kiri) dan Aaron.
Syamsul (kiri) dan Aaron.
A
A
A

SHAH ALAM - Teka-teka mengenai punca sebenar pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz digugurkan daripada membintangi filem The Original Gangster akhirnya terjawab selepas pengarahnya, Syamsul Yusof tampil menjawab.

Menurut Syamsul, ada beberapa faktor pelakon kelahiran Singapura itu tidak dipilih antaranya kerana telah berusia, faktor badan dan kesihatan.

Selain itu katanya, pandangan pelakon lain yang turut membintangi filem arahan terbaharunya itu juga menjadi sebab Aaron terpaksa digugurkan.

Bagaimanapun, jelas Syamsul yang kini masih berdepan kontroversi rumah tangga selepas mengakui telah beristeri dua berkata, keputusan untuk menggugurkan 'hero' filem tersohor itu bukan keputusannya seorang diri.

Sebaliknya, keputusan itu diambil selepas mendengar pandangan semua suara pihak produksi termasuklah barisan penerbit.

"Sayalah orang yang terakhir yang mahu menggugurkan nama Aaron kerana penerbit-penerbit saya beritahu, Aaron tak boleh (bintangi filem The Original Gangster) (sebab) dia sudah tua, dia dah gemuk.

"Tapi saya cakap jangan, kita bagi dia masa. Dia boleh kuruskan badan. Selain itu, dia juga ada masalah slip disc (tulang belakang tidak selari)," katanya ketika sidang akhbar khas di Kuala Lumpur pada Rabu.

Syamsul dalam masa sama turut mengakui terkilan apabila Aaron seakan cuba memperbesarkan isu mengenai penggugurannya, meskipun dirinya telah memohon maaf.

"Saya hubungi dia dan minta maaf kerana terpaksa menggugurkan nama dia, walau pun saya sayangkan dia. Sayalah orang pertama yang nakkan dia jadi hero dalam filem ini," katanya.

Kemelut membabitkan pelakon dan pengarah itu bermula selepas Aaron membuat pendedahan bahawa namanya digugurkan daripada membintangi filem tersebut, minggu lalu.

Namun dalam pendedahan kepada pihak media ketika itu, Aaron tidak memperincikan sebab dirinya digugurkan.