Kualiti tidak setanding harga, MBI sedia ambil tindakan atas peniaga bazar

Tindakan tegas akan diambil jika terdapat aduan rasmi berhubung isu harga atau kualiti makanan di bazar Ramadan sekitar bandar raya ini. - Gambar hiasan (Foto Bernama)
Tindakan tegas akan diambil jika terdapat aduan rasmi berhubung isu harga atau kualiti makanan di bazar Ramadan sekitar bandar raya ini. - Gambar hiasan (Foto Bernama)
A
A
A

IPOH - Tindakan tegas akan diambil jika terdapat aduan rasmi berhubung isu harga atau kualiti makanan di bazar Ramadan sekitar bandar raya ini, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurutnya, aduan tersebut akan disalurkan terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tindakan susulan ke atas peniaga terbabit, yang didapati mengambil kesempatan dengan meletakkan harga yang tidak setanding dengan kualiti makanan.

Katanya, beliau mengambil maklum wujud beberapa rungutan terutamanya di media sosial yang mendakwa peniaga bazar Ramadan menjual makanan dengan harga yang mahal atau disifatkan sebagai 'harga kayangan'.

"Setakat ini tiada sebarang aduan rasmi kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), tetapi saya ada juga lihat orang mengadu di Facebook, yang mendakwa (makanan di bazar Ramadan) kualiti Menu Rahmah tetapi harga kayangan.

"Ia berlaku di bazar Ramadan sekitar bandar raya Ipoh. Ada yang kata, harga itu agak tinggi tetapi kualiti tidak membayangkan harga.

"Kalau ada aduan rasmi kita akan serahkan kepada KPDN. Setakat dua hari ini, tiada lagi (aduan rasmi), cuma di media sosial sahaja, katanya.

Rumaizi berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan majlis berbuka puasa anjuran MBI dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Econsave, Perak Community Specialist Hospital (PCSH), Navira Meditech dan M Roof Hotel, di sini", malam tadi.

Terdahulu, pada sebelah petang, seramai 49 anak yatim dari Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh dan Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al Yassin dibawa ke pasar raya bagi pembelian pakaian hari raya.

Artikel Berkaitan:

Rumaizi berharap lebih banyak pasar raya dan syarikat mengambil bahagian dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat, sekali gus memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan. - Awani