Sultan Selangor perkenan terima zakat perniagaan RM10.2 juta

Sultan Selangor berkenan menerima zakat perniagaan Kumpulan Sirim sebanyak RM 2,335,855.62
Sultan Selangor berkenan menerima zakat perniagaan Kumpulan Sirim sebanyak RM 2,335,855.62
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM10,153,780.84 daripada lima syarikat korporat di sini pada Jumaat.

Majlis diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Negeri sempena Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersama rakyat dan Sumbangan Hari Raya 1444H.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataan memaklumkan, penyerahan zakat itu melibatkan Worldwide Holdings Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria sebanyak RM2,894,100.

Ia diikuti Kumpulan Sirim diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Indera Dr. Ahmad Sabirin Arshad sebanyak RM 2,335,855.62 manakala Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norita Mohd Sidek sebanyak RM2,316,185.22.

Katanya, turut menyerahkan zakat perniagaan, Rafulin Holdings Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan, Datuk Mohamed Raffe K Chekku yang menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1,607,640.

"Sementara Sime Darby Property Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir Mohamed Sohimin Mohd Alayedin menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000," kata LZR dalam kenyataan.

Dalam majlis sama, LZS turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM2,414,000 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi Sumbangan Ihya Ramadan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2023.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 417 masjid masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM2,000 manakala 1,580 surau lagi menerima sumbangan sebanyak RM1,000 bagi menggerakkan aktiviti pengimarahan sepanjang Ramadan ini," kata LZS.

Dalam kenyataan sama, LZS turut memaklumkan Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 80 orang asnaf takin, 301 orang asnaf miskin dan 112 orang asnaf mualaf dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM246.500.00.

"Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang," menurut kenyataan itu lagi.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang.