Hilang lapan jari, Ravichandran nekad tawan Everest kali-4

Leela memegang tangan Ravichandran yang kehilangan lapan jari selepas kali pertama mendaki Gunung Everest.
Leela memegang tangan Ravichandran yang kehilangan lapan jari selepas kali pertama mendaki Gunung Everest.
A
A
A

SEREMBAN - Meskipun kehilangan lapan jari ketika kali pertama menawan Gunung Everest, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat T Ravichandran, 58, untuk menawan puncak tertinggi dunia itu buat kali keempat pada 27 Mac ini.

Bagi anak kelahiran Kuala Pilah itu, insiden yang menimpanya lebih 10 tahun lalu itu membuatkan dirinya lebih kuat malah diharap dapat menjadi inspirasi kepada yang lain.

Menurut Ravichandran, sebagai pendaki profesional dia sememangnya telah bersiap sedia dengan apa saja kemungkinan yang perlu dihadapi.

"Bila mendaki gunung yang berketinggian 8,849 meter itu perkara utama yang saya fikir sama ada dapat balik semula ke rumah atau tidak.

"Lagi pun di situ kita terdedah dengan suhu serendah -50 Celsius dan waktu itu saya tidak tahu mengalami luka beku sehinggalah ketika mula menuruni gunung kerana mendapati sukar memegang tali," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, beberapa bulan selepas pulang ke Malaysia, jarinya secara tiba-tiba patah dan tercabut.

Bapa kepada seorang anak itu mengakui pada awalnya sukar untuk menerima hakikat kehilangan jari, namun segera membiasakan diri malah mahu melakar lebih banyak kejayaan sebagai pendaki.

"Saya tidak hanya duduk saja meratapi apa yang terjadi tetapi saya mencabar diri menawan lagi puncak itu pada tahun 2007, 2022 dan kali keempat pada 27 Mac ini.

"Kali ini saya juga akan mendaki puncak kedua tertinggi dunia yang juga paling mencabar iaitu K2 di Pakistan selepas selesai di Everest," katanya.

Berkenaan persediaannya pada 27 Mac ini, beliau berkata, lebih banyak melakukan larian bagi menguatkan staminanya.

Sementara itu isterinya R Leela, 51, berkata, jika pada awal 'pemergian' suaminya ke mana-mana ekspedisi, dia sememangnya akan berasa susah hati tetapi kini tidak lagi.

"Jika awal-awal dulu saya akan sibukkan diri dengan kerja kerana tak mahu terlalu berfikir soal suami tetapi sekarang saya hanya lalui kehidupan seperti biasa.

"Ini kerana saya tahu dia akan berjaya dan pulang membawa kegembiraan kepada negara," katanya.