SM Faisal, Emilia selesai kes secara baik

SM Faisal dan Emilia.
SM Faisal dan Emilia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemelut kes Ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang berdepan tuduhan mencederakan bekas isterinya, Emilia Hanafi memasuki lembaran baharu apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk mengakhiri isu itu secara baik di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Semasa prosiding di hadapan Majistret Nadia Othman, peguam pemerhati, Nazri Yahya yang mewakili Emilia berkata, anak guamnya dan SM Faisal berhasrat untuk berunding secara serius bagi menyelesaikan kes berkenaan.

“Makluman mengenai status rundingan itu akan diketahui sebelum atau pada 30 Mac ini, jadi saya memohon perbicaraan kes hari ini dilapangkan ke minggu depan," katanya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan prosiding bermula dengan Emilia membaca pernyataan saksinya.

Sementara itu, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang bertindak bagi SM Faisal, mengesahkan perkara tersebut dan menyatakan terdapat inisiatif untuk menyelesaikan kes berkenaan.

"Saya sudah beritahu peguam itu, bahawa kita akan lakukan yang terbaik untuk selesaikan (kes) mengikut cadangan tertakluk terma anak guam," katanya.

Beliau memohon kepada mahkamah untuk merekodkan, sekiranya rundingan tidak mencapai kata kesepakatan, pihaknya tidak mahu membuang masa dan perbicaraan diteruskan prosiding seterusnya.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh yang dicadangkan itu, untuk keputusan rundingan penyelesaian.

Sementara itu, Akberdin ketika ditemui selepas prosiding berkata, rundingan kes ialah termasuk tuntutan harta sepencarian dan mutaah pasangan itu di Mahkamah Syariah di sini.

“Kalau ada penyelesaian, kita selesaikan semuanya termasuk di Mahkamah Syariah.

"Ia bergantung kepada terma dan persetujuan kedua-dua pihak, kita sentiasa terbuka untuk berbincang, kerana kes ini sudah berlanjutan terlalu lama, jadi kita mahu tamatkannya," kata Akberdin.

SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila yang ketika itu isterinya, di sebuah rumah di Jalan Kiara 3, Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 4.30 petang, 22 November 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2004 sebelum bercerai 2016 manakala hak penjagaan terhadap tiga anak mereka, diberikan sepenuhnya pada Emilia.

Pada 27 Jun lalu, Emilia menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan komital kerana ingkar perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.