Dua undang-undang baharu bagi jenayah seksual kanak-kanak

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penstriman seks secara langsung dan penderaan seks dalam talian terhadap kanak-kanak adalah kesalahan baharu yang akan diperkenalkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, undang-undang tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Mac ini.

Menurut beliau, undang-undang itu akan diletakkan dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Penderaan seksual dalam talian yang melibatkan kanak-kanak semakin meningkat. Kami juga mencadangkan untuk meminda istilah pornografi kanak-kanak iaitu istilah lapuk, kepada penderaan seksual kanak-kanak," katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.

Jelasnya, bagi kesalahan penstriman seks secara langsung, ia adalah bagi mereka yang mengambil bahagian secara langsung, menganjurkan, mempromosi, mengarahkan penyalahgunaan, menerima wang dan sebagainya yang berkaitan.

Tambah beliau, bagi kesalahan itu, pesalah akan dikenakan tindakan penjara 20 tahun atau denda sebanyak RM50,000.

“Bagi penderaan seks dalam talian iaitu penggunaan imej seksual kanak-kanak sebagai memeras ugut agar kanak-kanak menghantar lebih banyak foto atau video, meminta wang atau melakukan hubungan seks akan dikenakan penjara 10 tahun,” katanya.

Tambah beliau, satu kerjasama bersama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dilakukan.

“Ia bagi memberi mandat kepada penyedia perkhidmatan internet untuk mengesan, menyekat akses dan melaporkan kesalahan kepada pihak berkuasa.

“Selain itu, bagi menangani masalah, penggunaan portal IWF Malaysia (Internet Watch Foundation) untuk kanak-kanak melaporkan dan mengeluarkan kandungan yang dihasilkan sendiri akan dilakukan,” ujarnya.

Beliau semasa soal jawab menteri di Dewan Rakyat berkata, sebanyak 5,519 kes telah dilaporkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bermula 2018 hingga Januari 2023.

Menurutnya, sebanyak 4,713 kes (85.4 peratus) telah diselesaikan dan 3,060 kes (55.4 peratus) pula telah dituduh dalam mahkamah.

“Kerajaan sentiasa komited dalam membanteras kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Secara amnya, penggubalan Akta 792 adalah suatu langkah yang sangat baik dalam membantu pihak polis untuk menjalankan siasatan dan pihak pendakwaan dalam merangka pertuduhan yang khusus di bawah Akta 792 berbanding dengan undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta kerajaan menyatakan bilangan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang telah dilapor, didakwa, dan diselesaikan sejak Akta 792 dikuatkuasakan.

Menurut Azalina, kerajaan turut akan meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676] bagi memperuntukkan mengenai pendengaran khas.

“Ia sebagai suatu lagi mekanisme di mana keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu menghadiri perbicaraan.

“Ia serta pemberian kuasa kepada mahkamah untuk melarang soalan-soalan yang tidak wajar diajukan kepada kanak-kanak bagi memastikan seseorang saksi kanak-kanak itu dapat memberikan keterangan dengan lebih tenang, lancar dan selesa,” ujarnya.

Namun begitu, tambahnya, kaedah perundangan sahaja adalah tidak mencukupi untuk menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Jelasnya, semua langkah yang diambil dalam proses sistem keadilan jenayah bagi sesuatu kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak hendaklah mesra kanak-kanak.

“Ini termasuklah daripada peringkat laporan kepada pihak berkuasa, siasatan, hingga ke prosiding di mahkamah.

“Perkara ini adalah mustahak bagi mendapatkan keterangan terbaik daripada saksi kanak-kanak dan juga meminimumkan trauma dan stigma yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak yang terlibat,” katanya.