Kadar sewa naik 400 peratus, MBPG setuju anjur 'town hall'

Hassan (tengah) mengadakan pertemuan dengan peniaga kawasan Kebayan dan Semai Niaga di Taman Air Biru, Pasir Gudang
Hassan (tengah) mengadakan pertemuan dengan peniaga kawasan Kebayan dan Semai Niaga di Taman Air Biru, Pasir Gudang
A
A
A

PASIR GUDANG - Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bersetuju mengadakan sesi 'town hall' dengan peniaga di kawasan Kebayan dan Semai Niaga di bandar raya ini pada 29 Mac ini berhubung kadar sewa baharu yang naik sehingga 400 peratus.

MBPG dalam satu kenyataan pada Khamis memberitahu, pihaknya akan memberi penjelasan berhubung kadar baharu itu kepada semua peniaga terlibat selain akan mengumumkan beberapa inisiatif lain untuk mereka.

"MBPG pada dasarnya telah membuat semua penyelarasan semula kadar sewa dan kos operasi di semua Kebayan dan Semai Niaga berikutan kadar kos dan sewa ini tidak diselaraskan sejak 10 tahun lalu.

"Kos operasi untuk Kebayan dan Semai Niaga di Pasir Gudang hampir RM1.6 juta setahun. Bagaimanapun selepas penyelarasan semua kadar sewa dan kos operasi dilaksanakan MBPG masih perlu menampung kos RM800,000 setahun," menurut kenyataan itu.

Pada Selasa sebahagian daripada 226 peniaga dari 18 kawasan Kebayan dan Semai Niaga itu mengadakan sidang akhbar di sini kerana terbeban selepas MBPG menaikkan kadar sewa antara 200 sehingga 400 peratus sejak Januari lalu.

Peniaga itu antaranya di Kebayan Jalan Sena, Kebayan Taman Mawar, Kebayan Sungai Buluh, Kebayan Taman Pasir Putih, Semai Niaga Taman Cendana dan Semai Niaga Taman Air Biru yang menyifatkan kenaikan tersebut seakan mahu 'membunuh' mereka dan bakal gulung tikar.

Sebelum ini mereka dikenakan sewa RM490 sebulan namun bermula 1 Januari lalu dinaikkan sehingga RM2,028.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perjanjian antara pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan peniaga terbabit dilihat berat sebelah dan peniaga mendakwa mereka dipaksa menandatanganinya.

"Saya telah melihat sendiri perjanjian sewaan tersebut yang saya anggap berat sebelah dan ditandatangani dalam keadaan terpaksa.

"Saya merayu kepada Datuk Bandar Pasir Gudang supaya mengkaji dan meneliti kembali keputusan MBPG menaikkan kadar sewa yang amat tinggi,," katanya.