Peguam Guan Eng diminta hentikan serangan peribadi

Guan Eng bersama peguamnya, Gobind Singhdi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk prosiding kes rasuahnya. - Foto Bernama
Guan Eng bersama peguamnya, Gobind Singhdi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk prosiding kes rasuahnya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan mengingatkan pasukan pembelaan bagi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kes rasuahnya di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, supaya tidak menyerang pasukan pendakwaan secara peribadi.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata demikian ketika hujahan permohonan Guan Eng untuk mendapatkan laporan forensik perbualan 'WhatsApp' antara ahli perniagaan, G Gnanaraja dengan Pengarah Kewangan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) CZCSB, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Perbualan terbabit adalah berkaitan RM2 juta yang didakwa diterima bekas Setiausaha Agung DAP itu dan pembelaan mahukan laporan itu bagi menunjukkan kepada mahkamah yang wang terbabit yang didakwa dibayar kepada Guan Eng melalui Gnanaraja daripada Zarul Ahmad, adalah tidak benar.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, Ahmad Akram mengingatkan peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Bagan itu supaya menghentikan serangan peribadi terhadap pasukan pendakwaan.

Menurutnya, pembelaan hanya perlu mengemukakan hujahan berdasarkan fakta dan bukti di mahkamah.

Beliau berkata, perkara (serangan peribadi) seperti ini akan menarik perhatian media untuk melaporkannya, sekali gus isu seumpama itu tidak perlu dilakukan.

“Menyentuh isu Gnanaraja, kami akan panggil dia untuk beri keterangan sebagai saksi pendakwaan, jadi mereka (pembelaan) boleh tanya mengenai perbualan 'WhatsApp' itu.

"Oleh itu, kami menyatakan bahawa permohonan (untuk mendapatkan laporan forensik) ini adalah remeh dan perlu ditolak oleh mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, dokumen yang dipohon oleh pihak pembelaan, adalah tidak berkaitan dengan perbicaraan kes rasuah ini.

Menurutnya, permohonan Guan Eng merupakan strategi untuk ‘memancing maklumat' dan bersandarkan permohonan yang tidak relevan.

“Yang Arif, jika permohonan ini dibenarkan, ia akan ‘membuka pintu’ kepada lebih banyak lagi permohonan yang tidak berkaitan," katanya.

Pada awal prosiding, Gobind menghujahkan bahawa, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim yang mengendalikan kes Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam telah sedia maklum mengenai fakta membabitkan kes ahli perniagaan dengan Guan Eng.

Gobind berkata, Nik Haslinie sedar bahawa wang RM2 juta dalam kes Gnanaraja bukan untuk diberikan kepada Guan Eng, sebaliknya untuk ahli perniagaan itu.

“Mereka (pihak pendakwaan) masih berkeras mahu membantah permohonan kami.

"Dakwaan bahawa mereka tidak tahu mengenai kes Gnanaraja di Shah Alam adalah palsu, ini adalah penghinaan mahkamah di tahap tertinggi dan dusta,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Azura menetapkan 5 April depan untuk keputusan permohonan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.