Bekas penghuni rumah anak yatim ditawar latihan kemahiran STDC

Mohd Khairuddin (tengah) menyaksikan MoU antara YIDE dan STDC membabitkan Pelan Pembangunan Modal Insan Pasca Rumah Perlindungan dan Anak Yatim Negeri Selangor di Lobi Bangunan Pejabat SUK di sini pada Rabu.
Mohd Khairuddin (tengah) menyaksikan MoU antara YIDE dan STDC membabitkan Pelan Pembangunan Modal Insan Pasca Rumah Perlindungan dan Anak Yatim Negeri Selangor di Lobi Bangunan Pejabat SUK di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 30 anak yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menjadi kumpulan pertama mengikuti program latihan dan kemahiran di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, mereka terdiri bekas penghuni di 25 rumah anak yatim berusia 18 tahun yang akan mengikuti kursus kemahiran seperti elektrik, motosikal, penyamanan udara, automotif dan sistem komputer.

Menurutnya, kos pengajian dan asrama akan dibiayai Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) selain turut diberikan wang sara diri RM300 sebulan sepanjang tempoh enam hingga 12 bulan mengikuti kursus.

“Program ini dijalankan hasil perbincangan dengan mereka yang mengurus anak yatim (YIDE). Kita sedar ada dalam kalangan mereka sukar bawa diri selepas tamat menghuni di rumah perlindungan.

“Kerajaan negeri memandang serius dan berhasrat mewujudkan program ini bagi menyelesaikan masalah modal insan di samping mengawal kadar pengangguran,” katanya pada Rabu.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelan Pembangunan Modal Insan Pasca Rumah Perlindungan dan Anak Yatim Negeri Selangor di Lobi Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Rabu.

MoU itu ditandatangani Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah sementara STDC diwakili Pengurus Pusat Bertauliah, Norzilawati Md Said.

Katanya, penyediaan latihan dan kemahiran itu juga dapat membantu menyediakan tenaga kerja mahir di Selangor.

"Ia secara tidak langsung meningkatkan kebolehpasaran belia yang terdiri daripada belia pasca penghuni anak-anak yatim.

"Diharapkan kerjasama ini dapat menjadi platform kepada belia untuk terlibat dalam pembangunan kemahiran yang disediakan sekali gus memberi peluang kerjaya yang memenuhi pasaran pekerjaan masa kini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, pihaknya bercadang menjalin kerjasama dengan Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi bidang akademik.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang menyerlah dalam bidang akademik dan kurang berminat dengan kemahiran.

“Saya akan bincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk pertimbangkan perkara ini,” katanya.