Teliti edaran poster digital, elak sebar fahaman terpesong

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda menggesa kerajaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk meneliti tatacara pengedaran poster digital yang bertentangan dengan budaya ketimuran di negara ini.

Naib ketuanya, Mohd Akmal M Yusoff berkata, tindakan itu mesti diambil demi mengelakkan sebarang penyebaran bahan tersebut yang dilihat terpesong daripada norma masyarakat madani.

“Pejuang Muda berharap agar semua pihak lebih berhati-hati dan sensitif dalam setiap tutur kata serta perbuatan yang mungkin boleh menyebabkan salah faham, atau lebih buruk menyebabkan tersebarnya budaya hedonisme di negara ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Akmal
Mohd Akmal

Mohd Akmal berkata demikian merujuk kepada isu poster digital yang tular tentang pembukaan rasmi sebuah kelab ‘Privacy Club Tun Razak’ dengan gambar sekumpulan lelaki menyerupai wanita seksi.

Beliau pada masa turut menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya ke atas acara tersebut kerana mempunyai elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Jelas beliau, program yang dirancang diadakan pada bulan Ramadan itu dilihat seolah-olah tidak menghormati umat Islam di negara ini.

“Seharusnya semua pihak termasuk penganjur program lebih sensitif dalam perkara ini demi mengelakkan sebarang salah faham ataupun lebih teruk menyebabkan ramai anak muda tertarik untuk menyertainya.

“Pejuang Muda menyeru kepada pihak berkepentingan termasuk jabatan kerajaan berkaitan untuk meneliti semula tatacara kelulusan untuk acara seperti ini yang jelas berupaya menarik perhatian ramai anak muda, termasuk mereka yang beragama Islam untuk turut serta dalam program seperti ini,” katanya.