'Selesaikan isu tempoh menunggu lama mohon PPR di KL'

Isu membabitkan projek PPR ini perlu diberi perhatian serius. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Datuk Mohd Hisamudin Yahaya)
Isu membabitkan projek PPR ini perlu diberi perhatian serius. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Datuk Mohd Hisamudin Yahaya)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta menyatakan usaha atau langkah diambil untuk menangani masalah tempoh menunggu yang lama bagi rakyat yang memohon projek perumahan rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, permasalahan ini telah lama berlaku, namun sehingga kini belum ada penyelesaian.

Selain itu, beliau turut membangkitkan persoalan sama ada rancangan membina rumah-rumah kos rendah bagi membantu golongan B40 masih diteruskan atau sebaliknya.

"Saya ingin menarik perhatian semua untuk membincangkan kesusahan dan keresahan rakyat dalam aspek isu pemilikan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kita difahamkan masih ramai warga Kuala Lumpur golongan B40 masih menunggu dalam sistem pemohonan untuk menyewa rumah kos rendah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara di sini pada Rabu.

Mohd Hisamudin berkata, isu membabitkan projek PPR ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan memandangkan ramai rakyat yang bergelut dengan kekangan untuk memiliki kediaman sendiri.

Jelasnya, hasil Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 PropertyGuru Malaysia mendapati 51 peratus responden menyatakan mereka tidak layak memohon skim perumahan mampu milik kerajaan dan tidak mampu untuk membeli hartanah tanpa bantuan kewangan.

Malah katanya, keadaan menjadi teruk apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik sebanyak 25 mata asas pada 3 November 2022, iaitu kenaikan kali ke-4 berturut-turut bagi tahun lepas dan menjadikan 2.75 ketika ini.

"Keadaan ekonomi yang belum pulih berserta dengan inflasi telah menjadikan isu pemilikan rumah golongan B40 sukar tercapai," katanya.

Selain itu, Mohd Hisamudin turut mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan kembali Kempen Pemilikan Rumah (House Ownership Campaign) yang pernah dilakukan sebelum ini.

Melalui pelaksanaan itu katanya, diharap dapat membantu mereka yang ingin memiliki rumah.