Didenda RM2,000 bantu pasang iklan ah long

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Pemandu lori dan pekerja bengkel besi buruk didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu atas pertuduhan membantu pemberi pinjaman tanpa lesen memasang iklan berkaitan pinjaman berkenaan, bulan lalu.

Majistret, Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S Navinraj, 22 dan A John Bosco, 22, selepas mereka membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menjalankan kegiatan memasang iklan berkaitan pinjaman wang tanpa lesen.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 1.50 tengah hari di Jalan Haruan 4/9, Oakland, di sini, 22 Februari lalu.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29AA(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ardelliza Izmaryanti Shafie yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu mahkamah supaya menjatuhkan hukuman berbentuk denda yang paling minimum dengan mengambil kira pengakuan mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Pendakwa Raya, Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Seremban bersama anggota anggota unit kereta peronda (MPV) telah menahan kedua-dua tertuduh yang disyaki sedang menjalankan pemasangan banner iklan pinjaman wang tanpa lesen.

Hasil pemeriksaan badan dan kereta dinaiki dua lelaki itu menemui tiga telefon bimbit, 60 iklan pinjaman wang dan satu tukul.