Projek lewat siap, berdepan denda RM30,000 sehari

Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai. - Foto fail Bernama (Gambar kecil: Azami)
Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai. - Foto fail Bernama (Gambar kecil: Azami)
A
A
A

KOTA BHARU - Pakej 2B Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan pembinaan laluan dari Ketereh hingga Kok Lanas kini berdepan denda RM30,000 sehari kerana lewat disiapkan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata, pembinaan pakej sejauh 6.2 kilometer (km) itu terlewat sebanyak 20 peratus berbanding jadual.

“Sepatutnya sudah siap 100 peratus, namun ketika ini masih 80 peratus. Pakej ini berjalan dengan denda sangat tinggi iaitu RM30,000 sehari.

“Pakej akan dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu pertama kira-kira tiga kilometer akan disiapkan dan diserah pada Mei ini sementara baki akan disiapkan pada bulan September tahun ini juga,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Md Alwi Che Ahmad (Barisan Nasional - Kok Lanas) pada Persidangan Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di sini pada Selasa.

Azami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok berkata, projek itu membabitkan tujuh pakej pembinaan lebih raya sepanjang 66.88 kilometer (km) dari Kota Bharu ke Kuala Krai dengan kos sebanyak RM2.33 bilion.

“Setakat ini, dua pakej siap sepenuhnya iaitu Pakej 1B (Pasir Hor-Kadok, Kota Bharu) dan Pakej 2A (Kadok-Ketereh).

“Pakej 3B membabitkan jajaran 10km di Kampung Berangan Mek Nab, Machang-Kampung Keruh, Kuala Krai) yang dahulunya ialah Pakej Lebuhraya Rakyat sudah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk disiapkan,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan bersetuju mengambil alih pembinaan projek itu tanpa mengambil hutang.

“Kita ada hutang sebanyak RM60 juta dan berharap jasa baik kerajaan supaya mengambil alih projek berkenaan termasuk dengan hutang," katanya.