Kadar sewa naik sehingga 400 peratus bebankan peniaga

Syed Othman menunjukkan kerosakan bumbung di kawasan Kebayan dan Semai Niaga.
Syed Othman menunjukkan kerosakan bumbung di kawasan Kebayan dan Semai Niaga.
A
A
A

PASIR GUDANG - Satu sesi 'town hall' perlu diadakan antara peniaga di kawasan Kebayan dan Semai Niaga dengan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berhubung kadar sewa baharu yang dikatakan naik sehingga 400 peratus.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin dan Cinta Malaysia, Syed Othman Syed Abdullah berkata, sesi tersebut perlu melibatkan semua 226 peniaga dari 18 kawasan Kebayan dan Semai Niaga tersebut dalam mencari penyelesaian.

"Town hall ini untuk kedua-dua pihak berunding dan bukan nak ikat terus (muktamadkan kadar sewa). Peniaga bukan tidak setuju sewa dinaikkan, mereka faham tetapi keadaan sekarang tidak mengizinkan.

"Ini kerana mereka baru berniaga selepas Covid-19, kadar keuntungan merosot 30 hingga 70 peratus. Mereka harap kadar sewa baharu itu dipertimbangkan. Turun atau mansuhkan kadar sewa baharu itu bagi tempoh tiga tahun sehingga ekonomi pulih.

"Kalau tak ada sesi town hall dengan MBPG kemungkinan perniagaan mereka ditutup kerana tidak mampu bayar sewa yang naik sejak 1 Januari lalu yang kini dinamakan sebagai caj penyelenggaraan dan pengurusan," katanya dalam sidang media bersama peniaga-peniaga Kebayan dan Semai Niaga di Kebayan Jalan Tembusu, di sini pada Selasa.

Kawasan Semai Niaga Taman Cendana di Pasir Gudang didakwa 'daif' berbanding medan selera lain kerana keadaannya yang tidak terurus.
Kawasan Semai Niaga Taman Cendana di Pasir Gudang didakwa 'daif' berbanding medan selera lain kerana keadaannya yang tidak terurus.

Syed Othman berkata, kadar sewa baharu itu tidak wajar kerana hampir semua kawasan Kebayan dan Semai Niaga amat suram, sunyi, tidak ceria dan boleh dikatakan seperti 'hidup segan mati tak mahu'.

Katanya, MBPG memaklumkan mereka memperuntukkan RM1.29 juta setahun untuk kos menyelenggara semua 18 kawasan tersebut tetapi realitinya keadaaan bangunan Kebayan dan Semai Niaga amat teruk dan tidak terurus.

"Kebanyakan yang meniaga di sini adalah peniaga B40, malah ada yang terpaksa keluarkan duit sendiri untuk baiki kerosakan," katanya.

Menurutnya, masalah berkenaan sudah dibangkitkan melalui surat kepada MBPG dan Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman pada 7 Mac tahun lalu serta 4 dan 8 Februari lalu tetapi tiada jawapan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Datuk Bandar Pasir Gudang dalam masa terdekat.

"Sekiranya masih tiada jawapan, kita akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi Asman tidak berhasil dan difahamkan beliau sedang menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Iskandar Puteri pada Selasa.