Terengganu tanam 1 juta pokok sejak 2021

Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) ketika hadir menyempurnakan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu di Lembaga Muzium Negeri pada Selasa.
Ahmad Samsuri (tiga dari kiri) ketika hadir menyempurnakan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu di Lembaga Muzium Negeri pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Perhutanan Negeri telah berjaya menanam sebanyak satu juta pokok di seluruh negeri ini hasil kerjasama pelbagai pihak sejak 2021.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak 500,000 pokok lagi disasarkan dapat ditanam pada tahun ini dan usaha tersebut bagi menjayakan Kempen Penanaman 100 juta pokok.

“Sepertimana kita sedia maklum, kempen penghijauan Malaysia dilaksanakan untuk mencapai objektif memperkayakan khazanah hutan kita.

“Kerajaan negeri sentiasa komited menyokong usaha positif memastikan khazanah hutan negeri terus kekal dan dipelihara serta dapat dimanfaat sebaik mungkin, saya harap sasaran 500,000 pokok tahun ini dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata ketika hadir menyempurnakan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Roslan Rani di Lembaga Muzium Negeri pada Selasa.

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan perhutanan, pemuliharaan hutan untuk kestabilan dan kesejahteraan alam sejagat.

Sementara itu, Roslan berkata, sebanyak 3,000 pokok telah ditanam di sekitar Muzium negeri melibatkan pelbagai spesis pokok dalam tempoh tiga hari bermula 18 Mac lalu melibatkan keluasan tanah lima hektar.

Katanya, antara spesis yang ditanam adalah Merawan Siput Jantan, Chengal, Balau, Keruing, Meranti Sarang Punai, Meranti Tembaga dan Kelat Paya selain pokok buah-buahan seperti manggis, mata kucing, durian belanda dan nona.

Beliau turut memaklumkan, seramai 120 peserta telah menghadiri kursus dan dilantik sebagai Malim Gunung Perhutanan (MGP) di negeri Terengganu.

“MGP berperanan sebagai jurupandu arah pendakian terdiri daripada penduduk tempatan yang telah hadir dengan jayanya Kursus MGP seterusnya didaftarkan sebagai MGP.

“Mereka juga akan berperanan membantu JPNT mengurus pelawat dan menjadi first responder sekiranya berlaku kemalangan di hutan," katanya.