Kuasa pengecualian cukai bukan bidang kuasa PM, menteri

Anwar - Foto fail Bernama
Anwar - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuasa untuk membuat pengecualian cukai adalah terletak di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan bukan Perdana Menteri atau menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kuasa tersebut terpakai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53).

"Memang kuasa pengecualian mengikut Subseksyen 44(6), bukan kuasa menteri atau Perdana Menteri, ia kuasa mutlak Ketua Pengarah LHDN," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung dakwaaan pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary, di mana kuasa berkenaan pada pandangannya terletak di bawah LHDN.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan enggan memperincikan secara lanjut kerana siasatan masih dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah.

Ahli Parlimen Tambun itu menambah, pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan adalah berbeza, antaranya meminta syarikat-syarikat besar untuk menyalurkan keuntungan kepada rakyat, dan bukan parti politik.

"Saya memilih memanggil Tan Sri Syed Mokhtar, memberi jaminan dan sokongan kepada projek-projek besar yang memberi manfaat kepada negara, dan bagi kepentingan pesawah miskin.

"(Kerajaan) minta dia derma kepada pesawah sebanyak RM60 juta dan 30 peratus keuntungan yang dicatatkan lebih 20 tahun (Padiberas Nasional Bhd).

"Ini pertama kali beri keuntungan bersih kepada pesawah padi, dan ada pendekatan yang berbeza. Satu boleh serah kepada parti, satu lagi boleh serah kepada pesawah padi. Saya pilih serah kepada pesawah padi," ujar Perdana Menteri.

Sebelum itu, Perdana Menteri ketika menjawab soalan Kee Chin menafikan tuduhan bahawa bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary. - Awani