Malaysia mungkin hilang lebih 2.3 juta hektar hutan

Malaysia telah menebang hutan seluas 349,244 hektar, dengan Sarawak dan Pahang mengalami kadar penebangan hutan tertinggi antara 2017 dan 2021. - Foto hiasan/Bernama
Malaysia telah menebang hutan seluas 349,244 hektar, dengan Sarawak dan Pahang mengalami kadar penebangan hutan tertinggi antara 2017 dan 2021. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berkemungkinan kehilangan hutan seluas 2,346,601 hektar bersamaan 100 kali ganda saiz Kuala Lumpur.

Kajian oleh satu kumpulan alam sekitar, RimbaWatch (dahulunya dikenali sebagai Rimba Disclosure Project) turut menganggarkan keluasan itu adalah lebih besar daripada saiz gabungan negeri Perak, Pulau Pinang dan Melaka.

RimbaWatch dalam satu kenyataan memaklumkan, aktiviti pembersihan hutan berpotensi mengurangkan litupan hutan Malaysia kepada 15,636,737 hektar atau 47.35 peratus daripada keluasan tanah seluruh negara pada masa akan datang.

“Jumlah ini berada di bawah komitmen Malaysia untuk mengekalkan 50 peratus daripada tanah di negara ini sebagai perlindungan hutan.

“Menggunakan data yang dikumpul daripada penyelidikan desktop merangkumi peta perhutanan rasmi, kajian impak alam sekitar yang diluluskan dan sebagainya, kami telah menganalisis 438 amaran kawasan berisiko penebangan hutan pada masa hadapan.

“Tujuan utama penebangan hutan pada masa hadapan adalah ladang kayu di hutan simpan,” katanya.

Menurut kumpulan itu, analisis penebangan hutan berdasarkan tafsiran data kehilangan litupan pokok daripada Global Forest Watch (GFW) menganggarkan Malaysia telah menebang hutan seluas 349,244 hektar, dengan Sarawak dan Pahang mengalami kadar penebangan hutan tertinggi antara 2017 dan 2021.

“Tujuan terbesar penebangan hutan masa lalu yang dikenal pasti ialah ladang kayu, menyumbang 41.6 peratus daripada penebangan hutan, diikuti minyak sawit dengan 15.5 peratus,” katanya.

Ujar mereka, di peringkat antarabangsa dan domestik, Malaysia komited untuk mengekalkan 50 peratus daripada litupan tanahnya sebagai hutan, yang telah termaktub dalam beberapa dasar negara.

Bagaimanapun, RimbaWatch menganggarkan litupan hutan berisiko jatuh kepada 47.35 peratus pada masa hadapan.

“Ini menyerlahkan kekurangan pemantauan berpusat proaktif bagi kelulusan berkaitan penebangan hutan dan menimbulkan persoalan sejauh mana kerajaan serius melaksanakan komitmen tersebut," jelasnya.

Dalam pada itu, RimbaWatch turut menggesa kerajaan menghentikan semua program penebangan hutan untuk ladang balak dan juga meminda definisi litupan hutan untuk memasukkan hanya hutan semula jadi.

“Merujuk kepada 1,794,887 hektar hutan simpan yang telah diperuntukkan untuk penebangan hutan untuk ladang layu, program Ladang Hutan di Semenanjung Malaysia, License for Planted Forest di Sarawak dan Industrial Timber Plantation di Sabah mesti ditamatkan.

“Kerajaan berhujah bahawa ladang kayu di hutan simpan dianggap sebagai litupan hutan. Bagaimanapun, realitinya ialah ladang kayu perindustrian bukan litupan hutan semula jadi,” ujarnya.