Jalan sesak, tol punca rakyat jadi mental

Masalah kesesakan jalan raya dan ketidakcekapan pengurusan tol menjadi salah satu sebab rakyat di negara ini semakin tertekan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Jalaluddin)
Masalah kesesakan jalan raya dan ketidakcekapan pengurusan tol menjadi salah satu sebab rakyat di negara ini semakin tertekan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Jalaluddin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah kesesakan jalan raya dan ketidakcekapan pengurusan tol menjadi salah satu sebab rakyat di negara ini semakin tertekan.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, walaupun pengurusan tol sudah lama diberikan kepada pihak konsesi, namun masalah yang sama tetap berlaku.

“Berkenaan dengan kesesakan jalan raya ini, sangat penting kerana tahap stres pengguna jalan raya semakin tinggi. Bukan sebab apa, hanya kerana kesesakan jalan. Ia bukan berlaku di Kuala Lumpur sahaja.

“Antara faktornya adalah tol. Saya nak tanya kepada Timbalan Menteri, sudah berapa lama kita berikan konsesi kepada tol ini? Takkanlah kutipan pembayaran masih sama?

“Masih pakai palang yang sudah tua, sekejap naik, sekejap turun. Kenapa kita tak gunakan ‘sensor’ sahaja? Di negara maju, mereka hanya gunakan ‘sensor’,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya.

Tambah Jalaluddin, Malaysia masih menggunakan laluan berbeza untuk pengguna RFID, Touch 'n Go dan Smart Tag yang dilihat tidak efisien.

“Smart Tag lebih banyak laluan daripada RFID. Kita nak beli Smart Tag, tapi tiada di market (pasaran). Yang ada, semua dah kopak dan tak boleh pakai.

“Saya nak tanya, sudah berapa lama kita berikan konsesi tetapi tiada perubahan? Itu yang menjadi ‘mental disorder’ kepada rakyat Malaysia. Tuan Pengerusi, ini fakta. Sepatutnya setiap laluan boleh guna untuk semua sistem. Kalau kereta langgar, samanlah,” jelasnya.