Lombong haram dikesan di Hutan Simpan Ulu Jelai

Kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai yang diterokai secara haram dan dijadikan tapak cari gali unsur nadir bumi. - Foto JPNP
Kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai yang diterokai secara haram dan dijadikan tapak cari gali unsur nadir bumi. - Foto JPNP
A
A
A

LIPIS - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya mengesan kawasan lombong haram seluas 0.28 hektar di kompartmen 411, Hutan Simpan Ulu Jelai di sini pada Ahad.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, lombong tersebut dibuka bagi mendapat galian yang dipercayai unsur nadir bumi (REE).

Menurutnya, unit penguatkuasa JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis turut menjumpai beberapa jentera dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk melancarkan aktiviti perlombongan haram itu.

"Hasil daripada pemeriksaan di kawasan berbukit dan tanah merah oleh anggota unit penguatkuasaan dikatakan telah menemui tujuh kolam yang dipercayai sedia digunakan sebagai penapis dan pengasingan REE.

"Kita turut menyita jengkaut dan pelbagai peralatan lain bagi tujuan siasatan lanjut serta sudah ditempatkan di stor rampasan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Kawasan lombong haram yang dikesan pihak JPNP di Hutan Simpan Ulu Jelai. - Foto JPNP
Kawasan lombong haram yang dikesan pihak JPNP di Hutan Simpan Ulu Jelai. - Foto JPNP

Beliau memberitahu, tiada individu yang ditahan kerana mereka dikatakan sudah mengetahui kehadiran anggota penguat kuasa.

Tambahnya, satu pasukan siasatan akan ditubuhkan bertujuan mempercepatkan siasatan bagi mengesan pelombong haram ini.

"Kita percaya kegiatan ini didalangi orang tempatan dan warga China berdasarkan bukti-bukti yang terdapat di kawasan kejadian.

Jengkaut yang ditemui di lokasi serbuan di Hutan Simpan Ulu Jelai.- Foto JPNP
Jengkaut yang ditemui di lokasi serbuan di Hutan Simpan Ulu Jelai.- Foto JPNP

"Tindakan tegas menanti mereka termasuk mengheret mereka ke muka pengadilan. Hukuman di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pihak terbabit," jelas beliau.

Mohd Hizamri memberitahu, kawasan itu akan dipantau dengan menggunakan teknologi sedia ada seperti Forest Monitoring Remote Sensing (FMRS), planet.com, selain rondaan di lapangan oleh pihaknya.

"Kita akan terus melakukan aktiviti rondaan dan pemantauan di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai dan beberapa hutan simpan lain di daerah ini bagi mengesan kegiatan menceroboh dan memindahkan bahan galian tanpa kebenaran.

"Kita juga menyeru masyarakat setempat termasuk Orang Asli supaya dapat bekerjasama memberi maklumat sekiranya terdapat kegiatan menceroboh hutan simpan dan tanah kerajaan di daerah ini," katanya.

Selain itu, Mohd Hizamri memaklumkan kerja-kerja pemulihan kawasan itu akan dilakukan segera melalui penanaman semula pokok sebaik sahaja semua proses siasatan selesai dijalankan.


Kolam yang digali dipercayai untuk mendapatkan REE. - Foto JPNP
Kolam yang digali dipercayai untuk mendapatkan REE. - Foto JPNP

Sementara itu, Pegawai PHD Lipis, Mohd Aizat Arippin berkata, ini kali kedua pihaknya menemui aktiviti melombong menggunakan kolam yang sistematik dipercayai bagi mendapatkan galian REE.

Jelasnya, kes pertama pada Ogos tahun lalu di kawasan hutan simpan yang sama.

"Difahamkan teknik melombong menggunakan kolam dan bahan kimia lebih berkesan bagi mendapatkan REE dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa. Penggunaan kaedah itu sebenarnya amat terkenal di China.

"Kebanyakan individu yang bekerja juga dipercayai warga China dan kita anggarkan antara 20 hingga 25 orang," katanya.

Peralatan yang ditemui di kawasan lombong haram di Hutan Simpan Ulu Jelai. - Foto JPNP
Peralatan yang ditemui di kawasan lombong haram di Hutan Simpan Ulu Jelai. - Foto JPNP

Mohd Aizat memberitahu, pemeriksaan menemui sebuah pondok berdinding kanvas yang dijadikan sebagai makmal.

"Kita turut menjumpai dua unit enjin jana kuasa elektrik berkuasa 2,500 kilowatt bersama sistem agihan kuasa menggunakan kabel elektrik bermutu tinggi dan beberapa peralatan lain lagi," ujarnya.