Masalah kesihatan mental di Johor membimbangkan

Tian Soon ketika menjawab soalan lisan di persidangan DUN Johor pada Isnin.
Tian Soon ketika menjawab soalan lisan di persidangan DUN Johor pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kes kesihatan mental dan gangguan emosi di negeri ini dilaporkan meningkat 20 peratus bagi tempoh tiga tahun, sejak penularan pandemik Covid-19.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, rekod terbabit cukup membimbangkan dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang berusaha memantau isu berkenaan.

"JKNJ merekodkan sebanyak 28 peratus kes kesihatan mental serta gangguan emosi dikesan pada tahun lalu berbanding 21 peratus pada tahun 2021.

"Pada 2020 pula kes kesihatan mental dan gangguan emosi juga berada pada tahap tinggi iaitu 28 peratus. Kita sebut peningkatan kerana kes kesihatan mental dan gangguan emosi hanya mencatatkan antara 11 hingga 12 peratus sahaja sebelum 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soalan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin.

Sebelum ini, Selamat Takim (BN-Sungai Balang) ingin tahu kes kesihatan mental dan gangguan emosi yang direkodkan di negeri ini.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, berdasarkan saringan kes kesihatan mental dan gangguan emosi pula ia menunjukkan peningkatan ketara.

Katanya, seramai 57,855 pesakit kes berkenaan disaring tahun lalu berbanding hanya 35,951 pesakit pada 2021 dan 37,128 pada 2020 ketika Covid-19 mula menular.

"Isu kesihatan mental dan gangguan emosi perlu ditangani secara holistik. Antara gangguan emosi yang dikenal pasti ialah kehilangan pekerjaan dan isu kewangan.

"JKNJ menyediakan perkhidmatan untuk membantu pesakit beradaptasi dengan situasi baharu dan bagaimana untuk menghadapi kecelaruan emosi," ujarnya.