Jendela menang anugerah di Switzerland

Fahmi (tengah) bersama trofi yang dimenangi Jendela dalam World Summit on the Information Society Prizes 2023 di Geneva, Switzerland pada 14 Mac lalu.
Fahmi (tengah) bersama trofi yang dimenangi Jendela dalam World Summit on the Information Society Prizes 2023 di Geneva, Switzerland pada 14 Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara atau Jendela berjaya memenangi anugerah di peringkat antarabangsa, World Summit on the Information Society Prizes 2023 (WSIS Prizes 2023) di Geneva, Switzerland pada 14 Mac lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kemenangan itu adalah bagi Kategori C2 - Infrastruktur maklumat dan komunikasi: Asas penting untuk masyarakat bermaklumat yang inklusif.

Menurutnya, majlis anugerah itu anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

“Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar dunia kepada Malaysia dalam merealisasikan aspirasi untuk memastikan liputan dan penyediaan perkhidmatan internet yang berkualiti untuk rakyat Malaysia.

“Saya percaya dan berharap kemenangan ini akan menjadi satu dorongan besar untuk semua pihak terlibat terutamanya syarikat telekomunikasi untuk terus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” katanya pada Majlis Penyerahan Anugerah WSIS 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Jelas Fahmi, inisiatif Jendela yang merangkumi dua fasa mula dilaksanakan pada September 2020, yang mana pelaksanaan Jendela Fasa 1 (2020-2022) telah menunjukkan pencapaian yang cukup memberangsangkan.

Selain itu, katanya, pelaksanaan 5G yang pada asalnya dirancang di bawah Jendela Fasa 2 (2023-2025) telah diawalkan pada Fasa 1, iaitu penghujung 2021.

“Pelaksanaan 5G yang dikendalikan Digital Nasional Berhad (DNB) kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Setakat Februari 2023, sebanyak 4,363 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh negara. Dengan jumlah tersebut, ketersediaan rangkaian 5G telah mencapai 54.7 peratus populasi di dalam kawasan berpenduduk, dengan sasaran 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang hujung tahun 2023.

“Dengan capaian internet yang telah mencecah 97 peratus untuk kawasan berpenduduk, kita akan meneruskan usaha memastikan kualiti perkhidmatan internet akan disediakan dengan melihat isu seperti kelompangan liputan (potholes) bagi menambah baik Standard Kualiti dan Kualiti Pengalaman (QoS dan QoE) seperti di lebuh raya, dalam bangunan dan di stadium,” katanya.