Kerajaan teliti dasar tidak eksport tenaga diperbaharui

Nik Nazmi - Foto Bernama
Nik Nazmi - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang meneliti kembali dasar untuk tidak mengeksport tenaga diperbaharui (RE) kerana terdapat permintaan daripada beberapa kerajaan negeri termasuk dari Sarawak.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dasar untuk tidak mengeksport RE masih terpakai buat masa ini.

Menurutnya, jika dasar eksport RE diubah, ia mesti dilakukan mengikut terma yang ditetapkan oleh Malaysia dan menjaga kepentingan negara.



"Bila bercakap tentang dasar (eksport RE), pertamanya, dasar sedia ada iaitu untuk tidak eksport RE masih terpakai. Cuma pihak kerajaan sedang meneliti kerana ada beberapa permintaan termasuk dari Sarawak untuk mengeksport RE.



“Kita nak lihat kerangka secara keseluruhan dan baru-baru ini, kita sedia maklum Kemboja dan Indonesia ada menandatangani perjanjian persefahaman dengan Singapura untuk eskport RE.

“Penjelasan kita mudah dalam hal ini, sekiranya kita ubah dasar eksport RE ini, pertama sekali ia mesti dilakukan mengikut terma Malaysia," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanyakan sama ada kerajaan mahu menukar dasar tidak membenarkan eksport RE.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, jika eksport industri RE dibenarkan, ia bukan mengenai jumlah yang terhad, sebaliknya bagi membolehkan negara mempertingkatkan kemahiran kapasiti tenaga baharu.

"Sekarang pun walaupun kita telah menyemak semula bagi tarif sektor industri dan komersial yang menggunakan voltan sederhana dan tinggi, tarif dalam sektor itu masih ada subsidi.

"Itu antara kekangan untuk membolehkan sektor RE kita berkembang kerana mereka tidak dapat menjual tenaga yang mereka jana itu pada harga yang komersial tetapi di Singapura, ia adalah pada harga pasaran.

"Ada banyak yang nak menggunakan teknologi baharu untuk mengatasi kekangan. Sekarang ada teknologi penyimpanan bateri tetapi kosnya mahal. Kalau ia dibuat menggunakan tarif di peringkat domestik, ia masih lagi tidak menarik.

"Perkara itu akan dilihat (dasar eksport RE), tetapi apa jua keputusan yang dibuat kita lihat kepentingan negara terjaga,” katanya.