Isu Myanmar: Malaysia, ASEAN ambil langkah berhati-hati

Malaysia dan negara ASEAN mengambil langkah berhati-hati dan bijaksana dalam menangani isu Myanmar. - Foto AP
Malaysia dan negara ASEAN mengambil langkah berhati-hati dan bijaksana dalam menangani isu Myanmar. - Foto AP
A
A
A
KUALA LUMPUR - Malaysia dan negara ASEAN mengambil langkah berhati-hati dan bijaksana dalam menangani isu Myanmar supaya tiada ‘ledakan’ bagi kuasa-kuasa besar yang sedang mengintai untuk masuk ke rantau ini.

Justeru, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan, usaha penyelesaian terhadap konflik di Myanmar bukanlah mudah kerana melibatkan banyak pihak berkepentingan dan bakal mengambil masa yang panjang.

“Jangan kita jadikan isu Myanmar ini sehingga kita tidak boleh keluar daripada konflik yang berlaku. Maknanya, ada keutamaan-keutamaan lain yang perlu diberikan perhatian termasuklah dalam konteks hubungan ekonomi.

“Dalam masa sama, kita tidak boleh nafikan perlunya usaha untuk mengukuhkan usaha selari dengan ‘ASEAN Leaders' Review and Decision on the Implementation of the 5PC’ kerana ia menjadi matlamat jangka pendek dan panjang yang perlu kita diteruskan.

“Saya bersetuju, kita perlu elakkan isu Myanmar ini daripada menjadi ‘flash point in our region’. Sebab itu, kita kena menggunakan segala kebijaksanaan dan berhati-hati dalam menangani permasalahan ini kerana ada kuasa-kuasa di luar sana yang sedang mengintai untuk masuk ke kawasan kita,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) terhadap cadangan usaha sementara untuk mengeluarkan Myanmar daripada ASEAN dan sejauh mana ia mampu dilakukan.

Sementara itu, Zambry berkata, Malaysia kekal konsisten dalam mendukung usaha mencari penyelesaian konflik di Myanmar, dengan pendekatan secara dua hala atau di peringkat serantau.

“Kerajaan sedia maklum, bahawa isu Myanmar sentiasa mendapat liputan meluas masyarakat serantau mahupun antarabangsa.



“Malaysia akan meneruskan usaha-usaha sedia ada dalam membantu Myanmar mencapai penyelesaian terhadap konflik yang berlaku di negara tersebut. Usaha-usaha tersebut termasuk menyeru semua pihak kembali ke meja rundingan demi mencapai satu penyelesaian damai dan berkekalan.

“Malaysia juga berpandangan bahawa situasi di Myanmar adalah permasalahan serantau yang menggugat keselamatan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran ASEAN. Tambahan pula, isu Myanmar ini tidak seharusnya menjadi penghalang dalam mengukuhkan pembangunan ekonomi ASEAN.

“Kita terus kekal mengambil pendekatan untuk bersama-sama dengan negara-negara anggota ASEAN khususnya Indonesia yang kini adalah Pengerusi ASEAN dalam menangani isu Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang bertanyakan sama ada kerajaan akan meneruskan usaha kerajaan terdahulu untuk mencari penyelesaian dalam konflik Myanmar.

Beliau menambah, Mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN di Jakarta pada 4 Februari lalu telah bersetuju dengan pelan pelaksanaan 5PC yang tertumpu kepada usaha-usaha ASEAN ke arah mewujudkan persekitaran kondusif.

Ia bagi membuka laluan ke arah dialog terangkum yang melibatkan semua pemegang taruh di Myanmar dan yang dapat menyumbang ke arah memudah cara penyaluran bantuan kemanusiaan kepada semua rakyat Myanmar, tanpa diskriminasi.

“Malaysia akan terus memainkan peranan penting di peringkat pelbagai hala terutamanya di platform antarabangsa seperti PBB dan OIC dalam menyuarakan pandangan negara agar pihak-pihak yang terlibat dapat mencari jalan yang konstruktif ke arah penyelesaian yang tuntas bagi menangani krisis di Myanmar,” jelasnya.