KPKT sedia garis panduan kawasan berisiko

Kor Ming (dua dari kiri) merasmikan Pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) peringkat negeri Kelantan pada Ahad.
Kor Ming (dua dari kiri) merasmikan Pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) peringkat negeri Kelantan pada Ahad.
A
A
A

BACHOK - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang menyiapkan garis panduan melibatkan semua kawasan berisiko tinggi termasuk tapak perkhemahan bagi mengelakkan lebih banyak kematian dan kecederaan di kawasan itu.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, garis panduan berkenaan susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu.

Menurut beliau, objektif kementerian itu ialah supaya tiada kemalangan di kawasan tersebut terutama pada musim cuti sekolah serta perayaan.

"Kita mahu masyarakat mematuhi garis panduan tersebut selain ibu bapa sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan khususnya kanak-kanak.

"Kawasan berisiko yang sudah disenaraikan termasuk cerun bukit, air terjun dan tepi sungai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) peringkat negeri Kelantan di sini pada Ahad.

Kejadian menyayat hati di Batang Kali itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Pada majlis sama, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Kelantan.

Anggota bomba melakukan demonstrasi operasi menyelamat sempena Pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) peringkat negeri Kelantan pada Ahad.
Anggota bomba melakukan demonstrasi operasi menyelamat sempena Pelancaran Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) peringkat negeri Kelantan pada Ahad.

Menurutnya, jumlah itu untuk menyelenggara serta menaik taraf enam balai bomba di negeri ini termasuk Balai Bomba Kota Bharu, Balai Bomba Machang, Balai Bomba Rantau Panjang dan Balai Bomba Kuala Krai.

Melalui tambahan peruntukan itu katanya, dapat mengurangkan beban jabatan bomba negeri selain meningkatkan kesiapsiagaan pasukan bomba.

Beliau turut memaklumkan elaun Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

"Kenaikan elaun ini juga diharap dapat mencapai misi kerajaan demi menjaga kebajikan bomba khususnya PPDA," katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming memberitahu, majlis pelancaran keselamatan aktiviti air merupakan usaha kerajaan untuk memastikan rakyat sentiasa selamat ketika melakukan aktiviti air.

"Tahun lalu seramai 255 individu maut akibat lemas. Walaupun turun sebanyak 17 peratus daripada tahun 2021 tetapi kita perlu mengambil perhatian khusus dalam isu ini.

"Melalui pelancaran serta mekanisme yang ditetapkan oleh pasukan bomba dan penyelamat, saya harap tahun ini kita dapat menurunkan kadar kemalangan dan kematian akibat aktiviti air, tanah runtuh dan kemalangan," katanya.