KPKT selenggara PPR, rumah kos rendah elak masalah mental

Kor Ming (lima dari kanan) semasa hadir merasmikan Pasar Tok Kenali, Binjal di Kota Bharu pada Ahad.
Kor Ming (lima dari kanan) semasa hadir merasmikan Pasar Tok Kenali, Binjal di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM90.4 juta bagi menyelenggara Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah kos awam bagi mengatasi masalah mental dalam kalangan penghuni.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata demikian selepas mengulas mengenai Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang mendiami PPR di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.

"Mana-mana kajian yang dibuat kita pandang serius jika ia berkaitan kesengsaraan rakyat.

"Fokus baru KPKT sekarang ialah setiap PPR yang dibina perlu menepati lima ciri utama iaitu berdaya murni, senang dihubungi, mampan, kualiti baik, dan baik untuk komuniti," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau merasmikan Pasar Tok Kenali, Binjal di sini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan pemimpin setempat.

Menurutnya, KPKT akan membuat penyelenggaraan PPR dan rumah kos awam supaya ia lebih berdaya saing selain memperuntukkan RM50 juta bagi kerja-kerja menukar lif rosak di lokasi berkenaan.

Kor Ming berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 100 lif baharu akan ditukar dalam tempoh setahun.

"Lima tahun, 500 lif bakal ditukar di seluruh negara yang akan membawa manfaat kepada 500,000 penduduk di PPR.

"Ia bagi memastikan penghuni terutama kanak-kanak, remaja apabila balik, mereka boleh melihat suasana yang kondusif iaitu dengan cara mengindahkan kawasan lif, menyediakan lampu yang terang dan sebagainya," katanya.

Beliau berharap rakyat memberi masa lima tahun kepada Kerajaan Perpaduan untuk melakukan perubahan ini.

Tambahnya, kestabilan politik negara kerana sangat penting dalam merealiasikan perkara tersebut.