KPKT belanja RM50 juta tukar lif usang, daif di PPR

Kor Ming (dua dari kiri) bersama Ahmad (tiga dari kiri) menandatangani plak perasmian Pasar Tok Kenali, Binjai pada Ahad. - Foto Bernama
Kor Ming (dua dari kiri) bersama Ahmad (tiga dari kiri) menandatangani plak perasmian Pasar Tok Kenali, Binjai pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membelanjakan RM50 juta khusus bagi menukar lif usang dan daif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah tersebut diambil supaya PPR terlibat lebih berdaya huni dan demi keselesaan penduduknya.

"Sebagai permulaan 100 lif usang disasarkan untuk ditukar setiap tahun. Jadi dalam tempoh lima tahun (satu penggal) 500 lif baharu akan ditukar yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk di PPR.

"Kita bukan sahaja akan menukar lif baharu malah mengindahkan ruang lif supaya apabila penduduk balik mereka rasa selesa kerana lampu terang, suasana kondusif, lif lebih efisien dan keselamatan sentiasa dipantau," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pasar Tok Kenali di Binjai yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, di sini pada Ahad.

Kor Ming berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang mendapati lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun di PPR di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, KPKT juga akan membelanjakan RM90.4 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan PPR serta rumah kos awam supaya lebih berdaya huni.

"Oleh itu, beri lima tahun kepada kerajaan ini kerana kestabilan politik sangat penting supaya segala yang dirancang dapat dilaksanakan.

"Jika tidak segala rancangan tidak dapat dilaksanakan biarpun sudah ada peruntukan akibat pergolakan politik," katanya. - Bernama