Amaran Anwar dan keutuhan negara

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

AMARAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dan agama sekali lagi mencuri perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pada Jumaat mendakwa, terdapat pihak yang mengadakan usaha untuk menghangatkan kedua-dua isu tersebut bagi menimbulkan ketegangan masyarakat di luar sana.

Justeru, menyedari akan bahaya tersebut, beliau mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk berwaspada dengan segala ancaman.

Ahli Parlimen Tambun itu turut mengingatkan bahawa sekiranya terdapat isu atau perselisihan yang berbangkit, ia mesti diselesaikan dengan cara yang baik.

Ujarnya, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama mempunyai peranan dalam membangunkan negara.

Bagi insan yang mempunyai keluhuran dalam jiwa, perbalahan pasti bukan satu perkara yang diingini.

Kita akui tidak semua perkara mesti mencapai kesepakatan, namun ia seharusnya bukan satu masalah untuk setiap anggota masyarakat dapat hidup bersama-sama.

Amat malang sekiranya ada pihak melihat kepelbagaian sebagai satu masalah yang mesti dipadam segera.

Untuk 65 tahun kemerdekaan, Malaysia hakikatnya merupakan antara negara berbilang kaum dan agama namun masih mampu menatijahkan kesatuan antara satu sama lain.

Oleh itu, janganlah di antara kita semua menodai perkara tersebut kerana ia mungkin hanya akan menjadi satu titik permulaan terhadap keburukan yang lebih besar.