Program ziarah gereja: 'Kami tidak tahu, kena tanya penganjur'

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran acara Projek Artikel 11 Jom Ziarah dijadualkan berlangsung di sebuah gereja pada Sabtu diteruskan atau sebaliknya masih menjadi tanda tanya walaupun setelah mendapat kritikan hebat.

Pihak Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang ketika dihubungi tidak dapat memberikan pengesahan mengenai perkara itu, sebaliknya meminta media untuk berhubung terus dengan pihak penganjur.

"Kami tidak tahu, kena tanya penganjur kerana kami hanya menyediakan tempat sahaja, bukan kami (anjur) kena tanya dia (mereka)," kata jurucakap pihak gereja berkenaan ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Bagaimanapun, penganjur program berkenaan gagal untuk dihubungi melalui nombor yang tentera di laman sosial rasmi mereka.

Sehingga petang Jumaat, penganjur dilihat masih menggunakan risalah dan iklan yang sama di media sosial tanpa dipinda walaupun program itu dikatakan dihadkan kepada bukan Islam sahaja.

Pada Jumaat, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempersoalkan mengapa risalah dan iklan Projek Artikel 11 Jom Ziarah belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya sedia maklum kenyataan terbaru Menteri Beliau dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa program itu pada asalnya terbuka kepada semua, kini ditukar dan dihadkan kepada belia bukan Islam sahaja.

"Namun semakan MAIS setakat ini mendapati risalah dan iklan yang diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik sejak beberapa hari lalu berkaitan dengan 'Projek Artikel 11 Jom Ziarah', program anjuran Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.