Sekat akses bahan porno di media sosial

Aiman Athirah (kanan) melawat ke gerai pameran yang diadakan di Tunjong, Kota Bharu.
Aiman Athirah (kanan) melawat ke gerai pameran yang diadakan di Tunjong, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mahu tindakan yang lebih tegas bagi menyekat akses pornografi secara menyeluruh di media sosial dalam usaha membanteras jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, masyarakat perlu diberi kesedaran dan perhatian terhadap peningkatan kes-kes jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak.

“Kita memerlukan internet dan teknologi, namun bahan-bahan porno di dalam medium ini sukar untuk dikawal.

“Jadi, satu keperluan untuk menyekat laman-laman sesawang ini daripada terus dapat diakses pada bila-bila masa sekali gus menutup ruang perlakuan jenayah,” katanya pada sidang akhbar selepas Karnival Hari Wanita Antarabangsa Kelantan (HAWA) 2023 di Tunjong di sini pada Jumaat.

Aiman Athirah (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Faridah (dua dari kanan).
Aiman Athirah (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Faridah (dua dari kanan).

Turut disampaikan Anugerah Jasamu dikenang kepada penerima, Faridah Mat Isa, 50, juga ibu kepada pemuda orang kurang upaya (OKU), Ahmad Shahmim Mohd Kadri, 21.

Menurut Aiman Athirah, kementerian itu juga menjalinkan kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia khususnya Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) bagi tujuan sama.

“Kementerian ini juga akan terus meneliti apa-apa sahaja ruang dan faktor-faktor yang boleh membawa kepada jenayah tersebut terus berleluasa untuk ditangani bersama.

“Tanggungjawab ini bukan bawah kementerian kami sahaja atau kementerian lain malahan ialah peranan segenap masyarakat,” katanya.

Akhbar pada Khamis melaporkan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak dan wanita di negara ini meningkat iaitu sebanyak 12,890 kes tahun lalu berbanding 11,092 kes pada 2020.

Kes termasuk rogol, cabul, sumbang mahram, gangguan, amang dan berkomunikasi seksual dengan kanak-kanak, penderaan kanak-kanak, buang bayi dan keganasan rumah tangga.