[VIDEO] Lelaki mengamuk ditegur ambil lauk guna jari

Suasana di sebuah restoran di Cyberjaya bertukar kecoh selepas berlaku kejadian pukul pada Khamis.
Suasana di sebuah restoran di Cyberjaya bertukar kecoh selepas berlaku kejadian pukul pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - Perbuatan seorang lelaki disyaki mabuk yang mengambil makanan dengan menggunakan jari di sebuah restoran di Cyberjaya, di sini pada Khamis bertukar kecoh selepas ditegur pekerja premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pengurus premis restoran terkenal itu dimaklumkan kejadian terbabit selepas menerima panggilan daripada pekerjanya kira-kira jam 7.30 petang.

Menurutnya, pengurus berusia 48 tahun yang bergegas ke premis mendapati beberapa barangan telah dirosakkan seperti pinggan selain lauk yang tercemar dan terpaksa dibuang.

"Siasatan awal polis mendapati tiga lelaki tempatan datang ke restoran terbabit untuk makan.

"Salah seorang daripada lelaki itu kemudian telah menggunakan jarinya untuk mengambil lauk di bahagian nasi kandar dalam keadaan mabuk.

"Kemudian pekerja premis telah menegur supaya tidak membuat sedemikian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, akibat ditegur, suspek telah bertindak agresif dan memukul pekerja premis.

Katanya, salah seorang suspek turut menggunakan penyepit makanan besi untuk memukul pekerja (mangsa) pada bahagian kepala dan badan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, tambah Wan Kamarul Azran, polis telah menahan tiga suspek berusia 50 dan 51 tahun pada Jumaat.

"Penahanan pertama dibuat pada jam 1.40 pagi di pekarangan Balai Polis Cyberjaya manakala dua lagi ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira jam 10 pagi.

"Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324, Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.