MPK tidak beri kelulusan bina kuil di Batu 7

Norfiza (enam dari kanan) menerima surat bantahan daripada wakil penduduk sekitar Sijangkang.
Norfiza (enam dari kanan) menerima surat bantahan daripada wakil penduduk sekitar Sijangkang.
A
A
A

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) menafikan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah memberi kelulusan bagi pembinaan kuil di Batu 7, Jalan Langat seperti didakwa dan tular di media sosial.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, permohonan membina kuil terbabit ditolak atas beberapa faktor hasil perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat pada 9 September 2020.

“Faktor itu antaranya tiada kemudahan infrastruktur sedia ada seperti jalan dan perparitan yang sempurna dari jalan utama ke tapak mengikut spesifikasi Jabatan Kejuruteraan," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau menambah permohonan juga menimbulkan keraguan memandangkan pembinaan bangunan kuil tidak berada di tapak tepat, tiada perimeter jalan dan perparitan di lokasi dikhaskan untuk bangunan kuil.

Jelasnya, penduduk Kampung Sijangkang, Kampung Medan dan Kampung Kebun Bharu Batu 9 di Sijangkang turut membantah kerana pembinaan kuil terbabit hampir dengan penempatan mereka yang majoriti berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Menurut penduduk, pembinaan kuil berdekatan kawasan kampung akan menimbulkan pelbagai masalah kerana akan menggunakan laluan Batu 7 Sempadan sebagai laluan utama dan sebanyak 2,258 bantahan diterima setakat ini," katanya.

Dalam kenyataan sama, Norfiza memaklumkan notis menghentikan aktiviti pembinaan dikeluarkan kepada persatuan agama pada 28 Februari lalu.

“Majlis juga bakal mengadakan Mesyuarat Pendengaran Awam pada 24 Mac ini bagi mendengar alasan bantahan kedua-dua pihak,” katanya memaklumkan perkara itu akan dibawa ke Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) untuk keputusan.