MB nafi penjawat awam kabur dengan hala tuju Kerajaan Perak

Ahmad Faizal dalam sesi penggulungan perbahasannya menaruh keyakinan terhadap penjawat awam di negeri ini membantu pentadbiran kerajaan pimpinannya.
Ahmad Faizal dalam sesi penggulungan perbahasannya menaruh keyakinan terhadap penjawat awam di negeri ini membantu pentadbiran kerajaan pimpinannya.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikankan dakwaan penjawat awam masih kabur dengan hala tuju kerajaan negeri.

Menurutnya, perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan sering kali diadakan dan mereka memahami dengan jelas hala tuju kerajaan negeri terutama membabitkan isu tanah, pembangunan dan pelaburan.

"Sesiapa sahaja boleh berhubung secara terus untuk mendapatkan maklumat lanjut dengan pantas dan berkongsi pandangan serta cadangan untuk kebaikan negeri. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Saya percaya dan yakin, majoriti penjawat awam di Perak setia kepada pentadbiran ini, dengan izin 'government of the day'.

"Walaupun begitu, saya menyedari ada sebilangan kecil dalam kalangan mereka yang masih setia kepada 'bos-bos' lama," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja sempena Sidang DUN Perak, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau yakin mereka akan memahami dan menyambut agenda kerajaan negeri untuk berkhidmat demi rakyat.

Beliau turut berkeyakinan bahawa penjawat awam di negeri ini akan menjunjung prinsip integriti dalam memelihara rahsia kerajaan negeri terutama maklumat sulit berkaitan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, pihak Kementerian Pendidikan sudah menyelesaikan pelantikan Pengarah Jabatan Pendidikan Perak dan pengarah baharu akan dilantik dalam masa terdekat.

"Ingin saya jelaskan di sini, isu tempoh kekosongan jawatan Pengarah Pendidikan selama enam bulan ini adalah mendukacitakan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, ia tidaklah begitu lama jika dibandingkan dengan tempoh kekosongan jawatan Pengarah Pendidikan negeri yang berlanjutan selama satu setahun setengah seperti yang berlaku pada zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, seperti dinyatakan oleh Yang Berhormat Pangkor (Datuk Seri Dr Zambru Abd Kadir) dalam sesi perbahasan beliau," katanya.