18,000 liter diesel dirampas, pengurus syarikat disiasat

Pegawai dan anggota KPDN Perak melakukan pemeriksaan ke atas skid tank yang disyaki menyimpan minyak diesel bersubsidi. - Foto KPDN Perak
Pegawai dan anggota KPDN Perak melakukan pemeriksaan ke atas skid tank yang disyaki menyimpan minyak diesel bersubsidi. - Foto KPDN Perak
A
A
A

IPOH - Lebih 18,000 liter minyak diesel bernilai RM50,334 dirampas dalam dua serbuan Op Tiris di kawasan perlombongan batu kuari di sekitar Ipoh pada Khamis.

Serbuan antara jam 11 pagi hingga 2 petang itu turut menahan dua lelaki tempatan dipercayai pengurus dan pekerja syarikat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan pertama berjaya menemui 12,000 liter cecair disyaki minyak diesel yang tersimpan dalam tiga skid tank di premis berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, bahan api itu disimpan bagi kegunaan jentera dan mesin bagi menjalankan aktiviti melombong batu kuarza sejak Jun tahun lalu.

"Hasil pemeriksaan kedua pula menemui 6,191 liter cecair minyak diesel berada dalam sebuah skid tank di premis berkenaan.

"Kedua-dua syarikat ini gagal mengemukakan sebarang Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel setelah diarahkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu telah ditahan untuk diambil keterangan bagi siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974

Katanya, KPDN akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mempergiatkan serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang barang kawalan di seluruh negeri bagi mengelak berlakunya ketirisan.

"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang

didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barang-barang kawalan ini.

"Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi," katanya.