Kucing sebagai peneman, al-Quran pengubat kesunyian

Semek memotong pucuk paku untuk dimasak ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Perkampungan Sungai Isap pada Khamis.
Semek memotong pucuk paku untuk dimasak ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Perkampungan Sungai Isap pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Bangsal usang yang dibina lebih 40 tahun lalu, berbumbung zink dan berdinding kayu menjadi tempat berteduh seorang warga emas di Perkampungan Sungai Isap di sini.

Semek Tahir, 82, yang menetap di rumah itu seorang diri selepas suami dan tiga anaknya meninggal dunia sejak puluhan tahun lalu.

Dia yang mesra di sapa nenek berkata, walaupun sudah biasa tinggal seorang diri, namun jauh di sudut hati terselit rasa rindu kepada keluarga yang sudah lama menghadap Ilahi.

Menurutnya, kesepian itu diisi dengan membela empat ekor kucing sebagai teman bicara, selain al-Quran pula pengubat kesunyian.

"Siapa tidak rindu, dalam usia begini, kita orang tua mahu bersama anak-anak untuk mereka (anak) urus makan, minum dan kesihatan. Tapi, saya pula diuji sebaliknya, ALLAH lebih sayangkan tiga-tiga anak saya apabila mereka semua meninggal dunia ketika masih kecil.

"Kini, mahu tidak mahu saya kena uruskan diri sendiri, hidup berseorangan. Tapi saya tiada pilihan dan saya terpaksa kuat menempuh ujian ALLAH dan tabah meneruskan sisa-sisa hidup yang masih berbaki," katanya ketika ditemui di bangsal usang di Perkampungan Sungai Isap di sini pada Khamis.

Semek mengakui kerinduan terhadap ahli keluarga diluah kepada ALLAH melalui doa.
Semek mengakui kerinduan terhadap ahli keluarga diluah kepada ALLAH melalui doa.

Anak jati dari Kuala Terengganu itu memberitahu kehidupannya bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan selepas tiada kudrat untuk bekerja.

Jelasnya, wang itu digunakan untuk membeli makanan dan membayar bil utiliti seperti air.

"Saya tidak ada wang simpanan, kecuali bantuan JKM, itulah boleh buat makan sampai sebulan, lagi pun orang tua makan tak banyak.

"Selain itu, orang ramai, jiran tetangga dan NGO (badan bukan kerajaan) pun banyak salurkan bantuan seperti barang keperluan harian kepada saya. Itu pun sudah memadai untuk saya terus hidup," katanya.

Dia mengakui bersyukur dikurniakan jiran tetangga yang baik hati dan sering bertanya khabar tentang keadaannya.

"Ada yang bimbang saya tinggal seorang diri di rumah, tapi saya selesa dengan keadaan begini tanpa susahkan sesiapa.

"Malah, saya percaya hanya ALLAH tempat mengadu dan bergantung harap selain akan bangun tengah malam untuk solat dan meluahkan segala yang terbuku," ujarnya yang reda dengan takdir hidup.