Kes kanak-kanak mati didera meningkat dalam tempoh 5 tahun

Abd Jalil (kanan) melakukan simbolik pelancaran dengan menanam pokok di pekarangan CIC di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Abd Jalil (kanan) melakukan simbolik pelancaran dengan menanam pokok di pekarangan CIC di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kes kanak-kanak mati akibat didera di negara ini meningkat dalam tempoh lima tahun bermula 2018 sehingga tahun lalu.

Berdasarkan statistik terkini dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 81 kes pada 2022 berbanding 65 kes pada 2021, 2020 (44 kes), 2019 (43 kes) dan 2018 (25 kes).

Selain itu, kes-kes jenayah lain melibatkan kanak-kanak dan wanita yang direkodkan tahun lalu ialah rogol sebanyak 1,398 kes, rogol berkumpulan 103 kes dan sumbang mahram 264 kes.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tekanan hidup kerana masalah kewangan antara punca peningkatan kes penderaan terhadap kanak-kanak selain menyebabkan perlakuan keganasan dalam rumah tangga.

“Sekarang ini ramai yang mengalami tekanan hidup hingga menyebabkan kecederaan kepada anak-anak dan isteri.

“Jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak pula disebabkan pengaruh negatif daripada penggunaan gajet dan teknologi tanpa kawalan ibu bapa, ketagihan porno dalam talian dan pengaruh rakan sebaya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Khamis.

Abd Jalil (tengah) bergambar bersama barisan anggota dan pegawai di hadapan CIC Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.
Abd Jalil (tengah) bergambar bersama barisan anggota dan pegawai di hadapan CIC Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan, Datuk Mohd Nor Yhazid Idris.

Abd Jalil berkata, polis akan menambah 19 lagi CIC bagi menangani kes-kes seksual dan penderaan ke atas kanak-kanak dan wanita di seluruh negara.

Katanya, setakat ini, hanya ada 15 CIC di seluruh negara iaitu sebuah di setiap kontinjen.

“Polis menyediakan CIC yang lebih selesa dan mesra kanak-kanak bagi tujuan merakam percakapan mangsa atau saksi golongan ini.

“Selepas ini setiap negeri akan ada dua CIC berbanding satu ketika ini. Sabah dan Sarawak masing-masing akan ada penambahan dua lagi CIC.

"Selain itu D11 juga turut mendapat penambahan penjawatan khas anggota seramai 100 pegawai,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor Yhazid berkata, polis Kelantan telah merakam percakapan seramai 74 kanak-kanak yang menjadi mangsa dan saksi jenayah di negeri ini pada tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, 62 ialah kanak-kanak perempuan manakala 12 lelaki. Seramai 65 mereka mencatat rakaman percakapan yang selari dengan laporan polis dan siasatan yang dijalankan,” katanya.