Kadar kebolehpasaran graduan agromakanan capai 73 peratus

Mohamad Sabu. - Foto ROSLI TALIB
Mohamad Sabu. - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar kebolehpasaran graduan lepasan pusat latihan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) secara purata mencapai 65 hingga 73 peratus.

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peratusan itu direkodkan bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini.

"Setakat 28 Februari lalu, sebanyak 69.5 peratus daripada 629 graduan yang dirai hari ini telah berjaya menempatkan diri dalam pekerjaan menerusi bidang masing-masing," katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-11, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini pada Khamis.

Menurutnya, pemerkasaan modal insan dalam sektor agromakanan memainkan peranan penting dalam pembangunan jangka panjang.

"Kebanyakan mereka menceburi bidang pekerjaan mengikut kursus pembelajaran, namun ada juga yang memilih menjadi usahawan agromakanan," katanya.

Beliau berkata, kementerian berperanan penting dalam mentransformasi sektor pertanian ke arah lebih moden, dinamik dan kompetitif dengan melatih lebih banyak tenaga kerja berkemahiran serta bertaraf komersial.

"Untuk graduan bidang penternakan, kita harap mereka terus berkecimpung dalam bidang sama kerana negara (ketika ini) masih lagi mengimport 80 peratus daging lembu dan kambing, jadi peluang ini masih terbuka luas," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Mohamad berkata, kementerian melalui institut dan pusat latihan sentiasa menyemak dan menambahbaik kurikulum yang diguna pakai selain memperuntukkan sumber kewangan untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan bagi perlaksanaan program latihan yang dirancang.

"Semua ini dengan tujuan untuk melahirkan graduan yang kompeten dalam pelbagai bidang pertanian, bukan sahaja bagi memenuhi permintaan tenaga mahir daripada sektor awam dan swasta, malahan bagi melahirkan graduan yang bakal menjadi usahawan dalam bidang pertanian," katanya.

Ujar beliau, sebagai modal insan yang telah dibekalkan dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan berteraskan amalan industri, graduan seharusnya menyumbangkan idea serta usaha dalam mentransformasi sektor agromakanan negara agar tidak ketinggalan dalam gelombang IR 4.0.

"Saya percaya, segala kemahiran dan ilmu yang diperoleh, membolehkan anda sebagai graduan TVET bersedia untuk meneroka lebih jauh dalam industri pertanian melalui aplikasi teknologi terkini, dalam menyumbang kepada sekuriti makanan dan kelestarian alam sekitar," katanya.

Mohamad berkata, walaupun TVET bukanlah pilihan utama golongan muda, namun pekerjaan berteraskan kemahiran ini juga membuka ruang luas kepada laluan keusahawanan terutama dalam bidang pertanian.

"Saya dimaklumkan bahawa semalam telah diadakan program padanan kerjaya bagi graduan yang masih mencari pekerjaan bersama-sama dengan syarikat dalam bidang agromakanan dan juga Agrobank bagi membantu graduan mendapatkan pembiayaan bagi yang berminat menjadi usahawan dalam bidang agromakanan," katanya.

Seramai 629 graduan dirai dalam majlis bersejarah itu.

Daripada jumlah itu, 101 graduan tamat Diploma Kemahiran Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia (307 orang), Sijil Pertanian (156 orang), Sijil Veterinar Malaysia (45 orang) dan Sijil Perikanan (20 orang).

Di majlis tersebut seramai enam orang graduan yang dipilih berdasarkan kecemerlangan dan keusahawanan akan dicalonkan untuk menerima lapan penganugerahan khas iaitu Anugerah Khas Pingat Emas Menteri, Anugerah Khas Ketua Setiausaha, Anugerah Khas

Graduan Keusahawanan Agrobank, Anugerah Khas Ketua Pengarah Pertanian, Anugerah Khas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Anugerah Khas Ketua Pengarah Perikanan, Anugerah Khas Pengarah BPKLP dan Anugerah Khas Pengurus Besar MADA.

Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) yang ditawarkan oleh Kementerian merupakan latihan berasaskan kompetensi kemahiran dan memfokuskan kemahiran teknikal dalam sesuatu bidang.

Bidang pengajian yang ditawarkan adalah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).

Sehingga kini, terdapat 15 pusat bertauliah di seluruh Malaysia yang menjalankan program PLKPK dengan 10 pilihan bidang pengajian.

Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan adalah Tanaman, Ternakan Ruminan, Ternakan Poltri, Pengeluaran Padi, Akuakultur Marin, Akuakultur Air Tawar, Pengeluaran Makanan (Pemprosesan), Pemasaran, Teknologi Perikanan Tangkapan dan Penyenggaraan Jentera Pertanian.

Persijilan lain yang turut ditawarkan adalah Sijil Pertanian, Sijil Perkhidmatan Veterinar dan Sijil Perikanan.

Permohonan untuk mengikuti program PLKPK perlulah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Pembelajaran adalah secara percuma dengan elaun bulanan, penginapan, dan makan minum ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.