Kembang Kampung Siaga 221 ke kawasan 'hotspot'

Sabariah disambut menaiki bot Ambifia Sealeg sejurus tiba pada Maljis Pelancaran Kampung Siaga 221 Peringkat Negeri Pahang pada Khamis.
Sabariah disambut menaiki bot Ambifia Sealeg sejurus tiba pada Maljis Pelancaran Kampung Siaga 221 Peringkat Negeri Pahang pada Khamis.
A
A
A

BERA - Penubuhan Kampung Siaga 221 akan dikembangkan ke kawasan titik panas bencana dan kecemasan yang boleh menjejaskan harta benda awam.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), (PA) Aminurrahim Mohamed berkata, setakat ini Kampung Siaga 221 sudah diwujudkan di Kelantan, Terengganu, Perak, Sarawak dan terbaharu di Pahang.

Menurutnya, langkah tersebut dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa atau kecederaan sekiranya mengalami kecederaan akibat bencana yang berlaku.

"Kita menyasarkan satu Kampung Siaga 221 di setiap negeri sebagai usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan persiapan awal penduduk sebagai langkah efektif menghadapi sebarang bencana.

"Kampung ini ditubuhkan bertujuan melatih komuniti atau penduduk setempat bagi kesiapsiagaan dalam menghadapi apa jua jenis bencana terutamanya bencana banjir yang sering berlaku di negara kita.

"Jadi dengan penubuhan Kampung Siaga 221 ini, ia mampu bertindak dengan lebih pantas dalam menyelamat mangsa atau mampu mencegah sesuatu bencana menjadi lebih teruk," kata beliau pada Khamis.

Sabariah (tengah) bersama sebahagian peserta wanita DUN Guai yang dilantik sebagai Sukarelawan Skuad Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) Wanita Guai.
Sabariah (tengah) bersama sebahagian peserta wanita DUN Guai yang dilantik sebagai Sukarelawan Skuad Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) Wanita Guai.

Beliau berkata demikian selepas Maljis Pelancaran Kampung Siaga 221 Peringkat Negeri Pahang sempena Sambutan Semarak Bulan Pertahanan Awam dan Hari Wanita Kebangsaan 2023, di Dewan Padang Luas di sini.

Hadir sama, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan yang turut merasmikan penubuhan Pasukan Pengendali Bot Amfibia Sealegs Wanita yang pertama dalam negara.

Sementara itu, Sabariah menyifatkan usaha tersebut bertepatan dengan tema negeri Pahang iaitu 'Pahang First' yang sentiasa mendahului negeri-negeri lain dalam perkara berkaitan kemasyarakatan.

"Pahang merupakan negeri pertama membeli dan mempunyai Sealegs sebanyak dua buah di Malaysia.

"Seramai 12 peserta wanita terdiri daripada pegawai dan anggota APM termasuk tiga dari Bera telah memulakan latihan sebulan yang lalu," jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai.

Sabariah turut memberitahu, seramai 30 peserta wanita di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dilantik sebagai Sukarelawan Skuad Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) Wanita Guai.

"Skuad ini bernaung di bawah saya dan akan dilatih oleh APM yang bertujuan bagi membantu mengurangkan kesan terhadap sesuatu kecemasan atau bencana di peringkat awal," jelas beliau.

Ujar Sabariah, ia dapat membina komuniti yang berdaya tahan dan meningkatkan kemampuan untuk menyesuaikan diri dan tetap teguh dalam situasi sulit yang akan dihadapi.

"Ia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan sekaligus keberkesanan pengurusan bencana di pelbagai peringkat," tambah beliau.