Masalah malpemakanan 5.6 juta kanak-kanak akan ditangani segera

Ahmad Zahid (kanan) ketika mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara di Parlimen. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (kanan) ketika mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara di Parlimen. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah malpemakanan dialami kira-kira 5.6 juta kanak-kanak melibatkan murid prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah rendah bakal ditangani segera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan dalam masa terdekat supaya penyelarasan bagi inisiatif menangani isu berkenaan dapat dilaksanakan memandangkan ia memerlukan kerjasama rentas kementerian dan agensi.

"Ini soal pembentukan fizikal generasi baharu ertinya pembentukan secara lahiriah generasi akan datang, terdapat ketidakseimbangan pemakanan yang diambil bagi membentuk kejuruteraan insan kepada generasi Malaysia akan datang.

Kita telah membincangkan bahawa peruntukan malpemakanan untuk sekolah-sekolah rendah dan menengah rendah melibatkan kira-kira RM800 juta, dalam soal ini kita juga harus mengambil kira pemakanan di taska atau tadika kerana pembentukan fizikal itu bermula daripada pemakanan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Parlimen selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara, yang turut dihadiri Jemaah Menteri termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, antara pendekatan bagi menangani kesan isu malpemakanan adalah penyelarasan keseimbangan pengambilan makanan mengikut nasihat daripada bahagian pemakanan Kementerian Kesihatan (KKM) dan inisiatif ini dikoordinasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Generasi akan datang Malaysia mesti mengikut piawaian yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bukan hanya WHO iaitu mengikut ukuran-ukuran tertentu tetapi kita mahu sebagai orang ASEAN keseluruhannya, pembentukan fizikal ini boleh dilakukan jika nutrisi yang diambil itu bersesuaian dengan piawaian ditentukan," katanya.

Beliau berkata, isu malpemakanan itu perlu ditangani supaya generasi rakyat Malaysia yang akan datang tidak mengalami kesan isu malpemakanan seperti masalah bantut dan obesiti.

Turut dibincangkan di mesyuarat itu, isu pendaftaran taska dan pusat jagaan dan cadangan menangani isu gelandangan.

Mengenai isu pendaftaran taska dan pusat jagaan, Ahmad Zahid berkata beberapa pendekatan telah diambil bagi menyelaras isu pendaftaran, kurikulum dan silibus serta piawaian premis bagi taska dan pusat jagaan.

"Penyelarasan mesti dilakukan... ia mesti dilakukan dengan piawaian tertentu agar kumpulan sasaran kita khususnya kanak-kanak prasekolah ini dapat diberikan perhatian terus, bagi membentuk generasi masa depan Malaysia dari segi minda, nutrisi dan pemikiran mereka dalam pembentukan negara bangsa.

"Melalui penyelarasan yang telah kita persetujui agar apa pun bentuk namanya taska, tabika, tadika, Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sekalipun kita mesti lakukan penyelarasan supaya pembentukan negara bangsa yang akan datang selari dengan matlamat negara MADANI yang dipacu Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, penyelarasan ini melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan juga tabika atau tadika yang kurikulum dan pendaftarannya melibatkan Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Untuk rekod, sebanyak 1,081 taska tidak berdaftar daripada jumlah keseluruhan 4,142 taska manakala 573 pusat jagaan tidak berdaftar daripada 2,961 pada 2022. - Bernama.