Lanjutan masa klinik kurangkan kesesakan di jabatan kecemasan

Sivanesan (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Greentown pada Khamis.
Sivanesan (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Greentown pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Pelanjutan masa rawatan bagi beberapa klinik kesihatan terpilih di Perak berjaya mengurangkan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan hospital-hospital kerajaan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, penurunan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan sudah pun berlaku sejak diumumkan pelaksanaan tersebut.

Menurutnya, keadaan itu sekaligus mengurangkan tekanan kepada pegawai perubatan di jabatan tersebut walaupun kehadiran pesakit selepas jam 5 petang di klinik-klinik kesihatan terlibat tidak terlalu ketara.

"Sekarang ini, selepas jam 5 petang, kita ada terima pesakit tetapi belum ada sebegitu ramai. Mungkin ada yang belum lagi terima maklumat berkaitan dengan pelanjutan tempoh masa ini, tetapi ada penurunan di bahagian kecemasan dan kekurangan tekanan pegawai perubatan di unit kecemasan.

"Jadi ini satu benda yang baik, permulaan yang baik dan kita akan perluaskan lagi ke klinik-klinik lain selepas ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Klinik Kesihatan Greentown di sini pada Khamis.

Sementara itu, Sivanesan turut mahu mencadangkan agar klinik-klinik kesihatan lain yang berada di luar bandar menambah waktu perkhidmatan mereka selama dua jam sehingga 7 malam.

Katanya, pelanjutan masa selama dua jam itu sudah mencukupi bagi kawasan-kawasan tertentu untuk memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan dan sebagainya.

"Beberapa klinik di luar bandar, kita tak perlu buka sehingga jam 9.30 malam kalau kita boleh tambah dua jam sebab kebiasaannya klinik swasta akan tutup dari jam 5 petang hingga 7 malam.

"Itu waktu yang kritikal kalau kerajaan boleh tawarkan perkhidmatan pada waktu itu, saya rasa akan banyak membantu rakyat," katanya.

Sivanesan berkata, cadangan itu akan dikemukakan apabila pertemuan diadakan dengan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam masa terdekat.

Pada 10 Mac lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan pelaksanaan pemanjangan waktu operasi selepas waktu pejabat di 52 klinik kesihatan (KK) di seluruh negara sebagai langkah mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan hospital kerajaan.

Waktu operasi klinik itu dipanjangkan dari jam 5 petang hingga 9.30 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan jam 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari Sabtu.

Di Perak sebanyak tujuh klinik yang terlibat iaitu KK Tapah, KK Teluk Intan, KK Greentown, KK Kamunting, KK Taiping, KK Sitiawan dan KK Tanjung Malim.