[VIDEO] Rawat pesakit tanpa mengira pakaian - Dr Zaliha

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengingatkan para pengamal perubatan untuk memberikan rawatan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun kod etika pakaian.

"Kita mengangkat sumpah Hipokrates yang diikrar khususnya para doktor dan pengamal perubatan yang antaranya melibatkan kesediaan untuk membantu pesakit sebaik mungkin," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu pendirian Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap isu kod pakaian di pusat kesihatan susulan tular isu membabitkan pesakit ditolak untuk diberikan rawatan kerana tidak mematuhi kod etika pakaian.

Menurutnya, perkara itu kemungkinan berlaku disebabkan masalah komunikasi dan KKM akan mengambil tindakan sewajarnya jika menerima sebarang aduan.

Dr Zaliha turut mengingatkan anggota kesihatan di triage atau kaunter pendaftaran supaya tidak menolak kehadiran mana-mana pelanggan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan walaupun mereka menetap di luar kawasan operasi klinik berkenaan. - Bernama