Salur peruntukan khas bantu baiki kerosakan banjir di Johor

Sultan Ibrahim berkenan merasmikan pembukaan Persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Khamis.
Sultan Ibrahim berkenan merasmikan pembukaan Persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Persekutuan diharap dapat menyalurkan peruntukan khas bagi membaiki infrastruktur awam dan harta benda yang rosak akibat banjir besar yang melanda Johor sejak 1 Mac.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, bencana banjir sejak dua minggu lalu itu masih belum pulih sepenuhnya terutama di Batu Pahat.

Baginda turut menzahirkan rasa sedih dan simpati dengan nasib rakyat yang terpaksa berhadapan dengan musibah banjir yang sangat mencabar.

"Selepas bencana ini berakhir, saya harap kerajaan Pusat dapat beri peruntukan khas untuk baiki infrastruktur awam yang telah rosak dan harta benda yang musnah.

"Saya juga seru kepada orang ramai untuk hulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir supaya mereka dapat baiki rumah yang sudah rosak.

"Janganlah kita kedekut sangat. Masalah banjir ini adalah kesan perubahan iklim dunia, oleh itu, saya gesa bangsa Johor supaya membudayakan amalan mesra alam dan kurangkan pencemaran alam sekitar," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan yang memberikan peruntukan kewangan segera bagi meringankan beban mangsa banjir dan meneruskan projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat dengan segera.

"Terima kasih juga kepada semua pihak yang hulurkan sumbangan kewangan, bekalan makanan dan keperluan harian, alatan kebersihan serta paling penting adalah bantuan tenaga sukarela yang datang dari seluruh pelusuk tanah air.

"Saya sangat bangga dengan semangat kerjasama dan bantu membantu yang diberikan tanpa kira kaum atau agama. Inilah budaya hidup masyarakat kita yang perlu dipertahankan, ibarat aur di tebing, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing," titah baginda.

Banjir besar yang melanda negeri ini sejak 1 Mac lalu dilaporkan berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa iaitu hampir dua kali ganda banyaknya daripada jumlah purata hujan bulanan di negeri ini.

Hujan yang turun selama dua hari iaitu pada 28 Februari dan 1 Mac lalu dilaporkan telah melebihi rekod jumlah hujan untuk tempoh sebulan.

Banjir di Johor kali ini merekodkan sejumlah 74,453 mangsa daripada 26,376 keluarga di semua 10 daerah dan babitkan 379 pusat pemindahan sementara (PPS).