Sampel air banjir termenung perlu diambil untuk penyelidikan

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Fadhil)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Fadhil)
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pihak berwajib terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil sampel air ‘banjir termenung’ dari kawasan-kawasan yang masih terjejas banjir di Johor bagi tujuan penyelidikan lanjut.

Felo Penyelidik Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, tindakan itu perlu dibuat berikutan kebimbangan penduduk terhadap bau busuk serta kekeruhan takungan air berkenaan yang dikatakan boleh memberikan kesan terhadap kesihatan mereka.

"Bagi saya, bau busuk 'air banjir termenung' itu berpunca daripada bau tanah gambut di kawasan berkenaan...bila dah terlalu lama tenggelam, mungkin ia menyebabkan timbulnya bau busuk.

"Yang kedua, mungkin disebabkan kawasan-kawasan kampung yang ada tangki septik; jadi, bila air bertakung lama, mungkin air keluar daripada sistem (kumbahan) itu.

"Oleh itu, untuk kepastian, pihak KKM termasuk Konsortium Indah Water (IWK), perlu melaksanakan ujian...apakah 'air banjir termenung' ini boleh menjejaskan kesihatan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Untuk rekod air banjir yang bertakung sejak lebih seminggu lalu di Kampung Parit Sempadan Laut, Parit Raja di Batu Pahat dilaporkan telah menimbulkan masalah bau busuk.

Malah, keadaan 'air banjir termenung' berwarna hitam itu turut menyebabkan penduduk bimbang mereka berkemungkinan boleh terkena penyakit kulit selain dijangkiti penyakit bawaan air.

Tambah Mohd Fadhil, kawasan yang dilanda 'air banjir termenung' itu dianggarkan berlaku di kawasan Senggarang.

"Saya rasa itu kawasan Senggarang, area banjir termenung tu, kawasan itu ada pintu laut ada pintu air.

"Air banjir pula bermula dari Segamat, melalui sungai masuk ke Batu Pahat melalui hilir dan di situ ada kawasan kampung, felda, kawasan perladangan.

"Kawasan di situ pula agak landai selain jaraknya hanya 2.5 hingga 3 kilometer (km) sahaja...jadi bila paras air naik, akan berlaku takungan air di situ," katanya.